BAITULMAQDIS – Bekas perdana menteri Israel, Naftali Bennett dan ketua pembangkang, Yair Lapid ‘bersatu’ dan menubuhkan parti Beyahad (Bersama) dalam usaha menyingkirkan Benjamin Netanyahu.
Bennett mengumumkan mereka akan bertanding menggunakan senarai bersama dalam pilihan raya tahun ini.
Netanyahu 76, pemimpin parti sayap kanan Likud merancang untuk mengetuai parti dalam pilihan raya umum yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada akhir Oktober.
menteri paling lama berkhidmat di Israel, dengan lebih 18 tahun keseluruhan tempoh memegang jawatan melalui beberapa penggal berbeza
“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa malam ini, bersama sahabat saya Yair Lapid, saya mengambil langkah paling Zionis dan patriotik yang pernah kami ambil demi negara kita,” kata Bennett dalam kenyataan televisyen bersama Lapid.
Katanya, Beyahad (Bersama) sebuah parti yang akan membawa kepada kemenangan besar dan membuka era baharu untuk “negara yang indah.”
Dalam kenyataan televisyen itu, Lapid berkata: “Bennett ialah ahli politik sayap kanan, tetapi seorang yang jujur dan wujud kepercayaan antara kami.”
Terdahulu pada Ahad, Lapid, yang juga bekas perdana menteri, berkata beliau akan bergabung tenaga dengan Bennett.
“Langkah ini membawa kepada penyatuan Blok Pemulihan, membolehkan semua usaha difokuskan untuk memimpin Israel ke arah pembaikan yang diperlukan,” tulisnya di X.
Bennett berkata jika dipilih, beliau akan menubuhkan suruhanjaya siasatan kebangsaan bagi menyiasat kegagalan yang membawa kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 — sesuatu yang ditolak kerajaan Netanyahu ketika ini.
Bennett dan Lapid merupakan pengkritik lantang terhadap cara Netanyahu mengendalikan perang negara itu sejak serangan tersebut, dengan Lapid menyifatkan gencatan senjata dua minggu yang dipersetujui dengan Iran baru-baru ini sebagai satu “bencana politik”.
Bennett, seorang tokoh sayap kanan yang sekian lama menyokong penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, dan Lapid sebelum ini membentuk kerajaan gabungan pada Jun 2021.
Kerajaan itu digantikan pada penghujung 2022 oleh pentadbiran semasa yang dipimpin Netanyahu, selepas Bennett pada Jun tahun itu berkata, gabungannya tidak lagi mampu bertahan dan Lapid kemudian berkhidmat seketika sebagai perdana menteri sementara.
Tinjauan pendapat menunjukkan, Bennett merupakan calon yang paling berpeluang menewaskan Netanyahu, Perdana Menteri paling lama berkhidmat, dengan lebih 18 tahun keseluruhan tempoh memegang jawatan melalui beberapa penggal berbeza.
Bennett pernah menjadi penasihat Netanyahu, namun dari semasa ke semasa menjadi penentang tegar dasar-dasar bekas mentornya itu.
Lapid, seorang wartawan televisyen terkenal, memasuki politik pada 2012 dengan menubuhkan parti Yesh Atid, yang kemudiannya menjadi kuasa politik kedua terbesar di negara itu.
Sejak itu, beliau berkhidmat sebagai ketua pembangkang, kecuali tempoh singkat beliau sebagai perdana menteri.
Nnnn
