Nahas maut akibat pemandu mabuk

KUALA LUMPUR 23 April – Akibat memandu dalam keadaan mabuk, seorang pegawai tentera ditahan selepas Ford Fiesta yang dipandunya merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing mengakibatkan seorang maut di Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pukul 5.38 pagi membabitkan kemalangan Perodua Alza dan Ford Fiesta.

Siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu lelaki berusia 31 tahun yang juga pegawai tentera dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan MPV e-hailing dipandu lelaki berusia 41 tahun.

“MPV itu membawa dua penumpang warga Bangladesh, masing-masing lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Akibat pelanggaran itu, penumpang lelaki yang duduk di barisan tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penumpang wanita warga Bangladesh cedera pada anggota badan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur sementara pemandu MPV e-hailing turut cedera di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta cedera ringan.

Seorang lagi penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun dalam kereta Ford Fiesta turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

Mohd Zamzuri berkata, ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.

Katanya, pemandu terbabit sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes tersebut.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal berhubung insiden itu dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.

“Biarlah polis menjalankan siasatan dan saya tidak dapat menentukan sama ada dakwaan itu betul atau sebaliknya. Walaupun individu itu anggota tentera, siasatan tetap perlu dibuat oleh pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment