Harga runcit diesel, RON97, RON95 turun

PUTRAJAYA 22 April – Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 85 sen kepada RM5.12 seliter bagi tempoh 23 hingga 29 April 2026, berbanding RM5.97 seliter sebelum ini.

Dalam tempoh yang sama, harga runcit RON97 ditetapkan pada RM4.85 seliter, turun 25 sen berbanding RM5.10 seliter sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.87 seliter berbanding RM4.02.

“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.

“Penurunan harga minggu ini adalah berdasarkan formula APM yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu. Walaupun terdapat pelarasan, harga petroleum kekal tinggi berbanding paras sebelum konflik,” kata MoF dalam kenyataan.

Dalam tempoh sama, MoF memaklumkan kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu.

Ini termasuk RON95 bersubsidi (BUDI95) pada RM1.99 seliter; diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter; Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.

Berikutan konflik di Asia Barat yang berlarutan, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan.

Menurut kenyataan itu, walaupun harga minyak global menunjukkan tanda penyusutan, ketidaktentuan pasaran tenaga masih berterusan dan pemulihan bekalan tidak berlaku serta-merta.

“Gangguan kepada kemudahan pengeluaran di Asia Barat serta rantaian logistik dan penghantaran global memerlukan masa untuk kembali stabil,” kata kenyataan itu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment