KUALA LUMPUR 27 Jan. – Skim Lindung 24/7 (24 jam sehari tujuh hari seminggu) bagi melindungi golongan pekerja dijangka bermula seawal suku kedua tahun ini atau selewat-lewatnya suku ketiga tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, berkata skim itu yang diwujudkan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Parlimen pada bulan lalu,perlu direncana dengan cermat.
Katanya, bagi memastikan manfaatnya diterima seluruh pekerja dan rakyat di negara ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengambil langkah-langkah yang cermat dan betul serta perlu bergerak selari dengan program sedia ada.
“Kita bersedia untuk melaksanakan skim ini dan saya sahkan ia akan bermula pada tahun ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis iLINDUNGu Sahabat!Perkeso Media Luncheon 2026 di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Kira-kira 200 pengamal media mewakili pelbagai agensi, media cetak dan elektronik serta portal hadir pada majlis tersebut.
RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu, antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7 iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa, termasuk di luar waktu bekerja yang bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.
Pelaksanaan skim berkenaan bagi mengelak situasi ribuan keluarga yang terpaksa menanggung sendiri kos rawatan dan segala perbelanjaan pemulihan, hanya kerana kemalangan berlaku di luar waktu kerja.
Pengenalan skim ini amat signifikan kerana skop perlindungan diperluas kepada kemalangan di luar waktu bekerja, termasuk semasa aktiviti harian.
Berdasarkan statistik PERKESO bagi tempoh antara 2018 hingga 31 Ogos 2025, sejumlah 539,111 permohonan tuntutan faedah menerusi Akta 4 diterima PERKESO dan daripada jumlah ini, sebanyak 26,865 kes tuntutan ditolak atas faktor tertentu, majoriti iaitu 87 peratus adalah kerana diputuskan sebagai bukan bencana kerja.
Nnnn
