Kesuma komited perkukuh BI tanpa jejaskan BM

KUALA LUMPUR 22 Jan.  – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) komited untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan tenaga kerja tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kata Menterinya, R Ramanan.

Beliau berkata ini kerana penguasaan bahasa Inggeris adalah satu kompetensi teras yang semakin kritikal, khususnya bagi tenaga kerja baharu dalam menghadapi persekitaran pekerjaan bersifat global, berteknologi tinggi serta dipacu automasi dan kecerdasan buatan (AI) serta meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.

Menjawab soalan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar), beliau memberitahu , antara strategi yang diambil termasuk penambahbaikan kurikulum latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi latihan kemahirannya.

“Melalui strategi penambahbaikan kurikulum latihan TVET di institusi latihan kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), ia dilaksanakan melalui penggalakan penggunaan bahan rujukan dwibahasa.

Begitu juga modul latihan berasaskan situasi kerja sebenar serta pelaksanaan pembentangan dan penilaian yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris.

“Jabatan Tenaga Manusia (JTM) juga menyokong inisiatif penguasaan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan modul umum bahasa itu yang wajib diambil oleh pelajar kursus sepenuh masa sepanjang tempoh pembelajaran,” katanya.

Iskandar Dzulkarnain dalam soalannya mahu tahu sejauh mana kesediaan Kesuma untuk membantu mewujudkan inisiatif bersesuaian bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam semua sektor tenaga kerja di Malaysia.

Pada masa sama, Ramanan berkata Kesuma melaksanakan pengintegrasian elemen bahasa Inggeris dalam pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), khususnya bagi bidang yang berorientasikan industri global.

Beliau berkata, ia antaranya membabitkan pembuatan maju, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), automotif, aeroangkasa serta perkhidmatan profesional.

Menurut Ramanan, penekanan diberikan kepada penggunaan istilah teknikal, kefahaman dokumentasi kerja dan komunikasi di tempat kerja.

“Sehingga kini, 90 peratus NOSS dibangunkan dalam bahasa Inggeris oleh panel industri kecuali bagi bidang berkaitan Islam seperti pendidikan tahfiz dan pengurusan masjid,” katanya.

Selain itu, Ramanan berkata Kesuma menyediakan platform pembelajaran latihan dalam talian e-LATiH melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), yang menawarkan lebih daripada 2,000 kursus percuma.

Beliau berkata, talian e-LATiH turut menyediakan kursus berkaitan bahasa Inggeris, komunikasi profesional dan kemahiran tempat kerja.

“Melalui e-LATiH, rakyat Malaysia dan graduan di bandar mahupun luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak, berpeluang untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris secara fleksibel,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment