Tuah 91 anak muda Kelantan

SEPANG 17 Jan.  – Kali pertama menunaikan umrah pada usia muda sudah pasti meninggalkan kesan mendalam terhadap sekumpulan 91 peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan 2.0 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.

Apa tidaknya, sebaik sahaja memasuki Masjidilharam, buat pertama kali juga mereka dapat menatap Kaabah secara langsung di depan mata.

Mereka yang terdiri daripada 50 wanita dan 41 lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun selamat tiba  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6 pagi 15 Januari lalu, selepas berangkat menunaikan umrah pada 4 Januari.

Melihat riak wajah anak-anak muda Kelantan, ternyata mereka puas dengan peluang yang diberikan Andalusia dengan kerjasama Yayasan Imanul Faizin dan Masjid Imanul Faizin, Melor, Kota Bharu.

Program ini adalah yang kedua diadakan selepas kali pertama berlangsung pada 29 Disember 2024 melibatkan 65 peserta iaitu 36 lelaki dan 29 wanita dengan pakej selama 12 hari 10 malam.

Andalusia menyasarkan program ini dapat memberi peluang kepada 200 peserta, bermakna masih ada sekurang-kurangnya 40 tempat untuk siri 3.0.

Bagi Anis Najwa Zusaimi, dari Kota Bharu, beliau amat bersyukur kerana cubaannya untuk menyertai program itu membuahkan hasil sehingga berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah pada usia muda.

“Ini merupakan hadiah paling besar untuk pembukaan tahun 2026. Terima kasih Andalusia,” katanya ketika ditemui di KLIA.

Beliau yang percaya ibadah umrah ini adalah panggilan daripada Allah SWT gembira kerana bukan sahaja dapat menunaikan umrah tetapi juga berpeluang melakukan ziarah tempat-tempat bersejarah.

“Sepanjang berada di tanah suci, saya mempelajari banyak perkara kerana mutawaif sangat membantu dalam memberi penerangan terperinci kepada kami,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Rahimi Mohd Ezani, 24 mengakui tidak menjangka berpeluang menunaikan ibadah umrah itu dan ia antara nikmat terbesar pernah dirasai sepanjang hidup.

“Tidak dapat lupa apabila pertama kali melihat Kaabah, hati terasa sangat sayu. Lebih-lebih lagi tahun 2026 saya dimulakan dengan hadiah terbesar ini. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau mengakui, program ini bukan sekadar untuk beribadah tetapi juga peluang menimba ilmu melalui sesi yang berlangsung sepanjang 20 hari ‘berkampung’ di masjid.

Sementara itu, pengiring program, Dr Kapten Muhaidi Al Hafiz berkata, pengisian program adalah berbeza berbanding pakej umrah disediakan kerana ia melibatkan anak-anak muda yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Katanya, mereka dipilih menerusi proses tapisan khusus termasuk temu duga yang diadakan bagi memilih peserta yang benar-benar layak.

“Saya berharap program untuk siri 3.0 akan diteruskan kerana berdasarkan maklum balas yang diterima, ia sangat positif. Sebelum ini, pada 2024 jumlah peserta agak kecil dan kali ini 2.0 jumlah itu terus meningkat,” katanya.

Program ini katanya, bukan sahaja membawa peserta menunaikan ibadah umrah, malah turut bertujuan melahirkan generasi berakhlak, berdisiplin dan mempunyai jati diri tinggi.

“Sepanjang di Tanah Suci, peserta juga diberi pengisian yang berfaedah di mana mereka mengikut pelbagai program berjadual termasuk tazkirah, sesi muhasabah diri dan aktiviti berkumpulan,” katany

Seorang lagi pengiring,  Dolah Ali menyifatkan program itu sebagai berjaya kerana jumlah itu bertambah kepada 91 berbanding sekitar 65 orang sebelum ini.

Beliau berkata, pemilihan peserta termasuk keperluan untuk solat berjemaah selama 20 hari di Masjid Imanul Faizin tetapi ia masih belum mencukupi untuk mereka dan masih ada perkara yang boleh diperbaiki.

“Semasa di Tanah Suci, saya nampak perubahan mereka termasuk kejayaan berada di masjid pada awal waktu dan kami berharap mereka boleh mengekalkan momentum menerusi program ini selepas pulang ke kampung halaman.

“Saya harap 3.0 nanti akan bertambah lagi para peserta malah saya gembira kerana Andalusia terlibat dengan perkara ini berikutan tiada lagi agensi lain terlibat dalam program seperti ini,” katanya.

Ketua Mutawif program, Mohd Riduan Che Long berkata, cabaran yang dihadapi dalam program kali ini agak berbeza tetapi semuanya berjalan dengan lancar daripada awal hingga akhir.

Beliau berkata, harapan Andalusia adalah untuk melihat program dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana ia merupakan hadiah yang bermakna kepada para peserta.

“Cabaran program ini adalah para peserta tidak memiliki pengalaman tetapi ada tenaga berbanding umrah lain apabila terdapat para jemaah yang sudah berpengalaman menunaikan umrah.

“Jadi untuk program ini, saya kena pastikan para peserta sentiasa bersama sepanjang menjalani ibadah kerana kalau terpisah mereka tidak tahu hendak ke mana.

“Saya berharap, program ini akan diteruskan tetapi bila ia akan diadakan semunya bergantung kepada Andalusia,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment