MPT Bersatu hormati keputusan Muhyiddin

SEPANG 13 Jan. – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menghormati keputusan Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan akan mempertahan keputusan itu atas dasar prinsip serta tanggungjawab.

Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, berkata MPT menerima keputusan Presiden itu selepas mendengar hujah Muhyiddin mengenainya pada mesyuarat MPT parti malam tadi.

“Bagaimanapun, MPT juga membincangkan secara mendalam mengenai hala tuju PN dalam persiapan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk maju ke hadapan dengan dasar yang sederhana, progresif dan prihatin rakyat.

“MPT mengambil pendirian untuk Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN serta kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin, berkata MPT turut melahirkan rasa kesal kerana ada pihak yang melempar fitnah bahawa Bersatu mengkhianati persefahaman dalam PN, susulan krisis politik yang berlaku di Perlis.

Bersatu turut menafikan sebarang pembabitan dalam krisis kepemimpinan di negeri itu.

“MPT mendengar penjelasan daripada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengenai krisis politik di Perlis yang berlarutan sekian lama dan berpuas hati dengan penjelasan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis.

“MPT menasihati Menteri Besar dan Badan Pimpinan Negeri untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dalam PN Perlis dan akan terus menjunjung titah nasihat Tuanku untuk membangunkan Perlis, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya.

Pada masa sama, MPT menyambut nasihat Presiden supaya ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti.

Nnn

Related posts

Leave a Comment