MELAKA 4 Jan. – DAP akan menentukan sendiri hala tuju parti termasuk pembabitan dalam kerajaan negeri atau Persekutuan, bukannya atas desakan atau provokasi pihak tertentu, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke,
Katanya, sebarang isu membabitkan kedudukan dan pendirian parti akan dibincang secara dalaman oleh kepemimpinan dan perwakilan negeri sebelum dilaporkan kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) untuk pertimbangan lanjut.
Beliau berkata, DAP tidak akan membuat keputusan berdasarkan tekanan, provokasi atau cabaran pihak lain, sebaliknya berpaksikan prinsip dan kepentingan parti serta pengundi diwakili.
“Hala tuju dan keputusan parti bukan mengikut telunjuk atau rentak orang lain, ia adalah keputusan kita sendiri kerana kita tidak mahu membuat keputusan kerana mengikut kehendak pihak tertentu.
Kita tidak takut dicabar, malah kita pantang dicabar, namun dalam masa sama kita tidak mudah diprovokasi dan setiap keputusan mesti dibuat secara matang serta bertanggungjawab.
“DAP tidak gentar berdepan cabaran, parti tidak akan bertindak secara terburu-buru akibat provokasi pihak tertentu,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengerusi DAP Melaka merangkap Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Semalam, pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Kuala Lumpur, ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, mencabar pemimpin DAP meletakkan semua jawatan dalam kerajaan di Melaka, memandangkan parti itu juga sebahagian daripada komponen kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) ketika ini.
Loke menegaskan, DAP berhak menentukan hala tuju dan masa depan perjuangan parti tanpa campur tangan mana-mana pihak
“Tadi Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong telah pun memberikan respons terhadap isu ini.
“Saya menyerahkan kepada pimpinan DAP Melaka dan juga para perwakilan untuk membahaskannya dan perkara itu akan dilaporkan oleh Pengerusi DAP Melaka kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC),” katanya.
Loke turut mengingatkan ahli dan penyokong parti itu terus memperkukuhkan DAP dengan penuh dedikasi dan kesungguhan menjelang ulang tahun ke-60 penubuhannya, tahun ini.
“DAP ditubuhkan pada 1966 dan ulang tahun ke-60 ini adalah detik bersejarah yang perlu dirai bersama sebagai tanda komitmen untuk terus memperkukuhkan parti,” katanya.
