ISTANBUL – Pihak berkuasa Turkiye mendakwa serbuan besar-besaran di 124 lokasi sekitar bandar itu, berjaya menahan lebih 100 individu yang disyaki anggota kumpulan Daish sekaligus menggagalkan rancangan serangan terhadap acara Krismas dan sambutan tahun baharu.
Menurut pejabat pendakwa raya Istanbul, serbuan itu turut merampas senjata api, peluru dan “dokumen organisasi.”
Pegawai keselamatan memaklumkan, penyokong Daish aktif merancang serangan di seluruh Turkiye minggu ini, khususnya terhadap golongan bukan Islam dan setakat
ini, polis menahan 115 suspek, manakala usaha mengesan 22 lagi masih diteruskan.
Pendakwa raya berkata, kesemua suspek dipercayai mempunyai hubungan dengan anggota Daish di luar Turkiye.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas ejen perisikan Turkiye melancarkan serbuan terhadap kumpulan berkenaan di sempadan Afghanistan-Pakistan.
Seorang warga Turkiye yang didakwa memegang jawatan kanan dalam sayap Daish di rantau itu turut ditahan dan dituduh merancang serangan terhadap orang awam.
Perkhidmatan keselamatan Turkiye secara berkala menyasarkan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Daish.
Negara itu berkongsi sempadan sepanjang 900 kilometer dengan Syria, di mana kumpulan berkenaan masih beroperasi di beberapa kawasan.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa yang mempunyai hubungan rapat dengan Ankara berikrar bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan Eropah untuk membanteras baki elemen Daish.
Amerika Syarikat pula melancarkan siri serangan udara terhadap kedudukan Daish di Syria pada Jumaat, susulan insiden pembunuhan tiga rakyat Amerika – dua anggota tentera dan seorang jurubahasa awam – dalam serangan hendap awal bulan ini.
