Dr Yahaya Awang terima Doktor Kehormat

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Pakar bedah kardiotorasik terulung negara Dr Yahya Awang, menerima anugerah Ijazah Doktor Undang-Undang (Doktor Kehormat) daripada Universiti Monash.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang kardiotorasik, termasuk peranan pentingnya dalam penubuhan Institut Jantung Negara (IJN).

Ijazah itu disampaikan oleh Ahli Majlis Universiti Monash dan Dekan Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan, Kejururawatan dan Sains Kesihatan, Profesor Wayne Hodgson, yang mempengerusikan majlis penganugerahan bagi pihak Majlis Universiti.

Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis khas bersempena pelancaran buku tulisan Dr Yahya, berjudul “Heart To Heart Memoir Of Cardiothoracic Surgeon Yahya Awang” oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Majlis turut dihadiri Presiden serta Pro Naib Canselor Universiti Monash Malaysia, Profesor Emeritus, Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan isteri Dr Mahathir, Tun Dr Situ Hasmah Mohd Ali selaku tetamu kehormat.

Dr Adeeba dalam ucapannya, berkata Dr Yahya secara meluas diiktiraf sebagai pakar bedah kardiotorasik terulung negara, perintis klinikal dan pemimpin utama dalam penubuhan penjagaan jantung moden di negara ini.

“Kerjaya beliau mencerminkan gabungan luar biasa kecemerlangan klinikal, khidmat kepada negara dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap pesakit.

“Melalui pencapaian penting seperti penubuhan Institut Jantung Negara dan latihan generasi pakar bedah, beliau membantu membentuk sistem penjagaan kesihatan Malaysia serta meninggalkan legasi berkekalan yang melangkaui bilik pembedahan,” katanya.

Dr Yahya dikenali secara meluas sebagai antara pakar bedah kardiotorasik terkemuka negara dan tokoh penting dalam pembangunan penjagaan jantung moden di negara ini.

Beliau adalah graduan dari Universiti Monash, di mana beliau menamatkan pengajian perubatannya sebelum melanjutkan latihan kepakaran kardiotorasik di United Kingdom.

Sepanjang kerjaya lebih empat dekad, sumbangan beliau seiring dengan perkembangan pembedahan kardiotorasik di Malaysia.

Dr Yahya pernah berkhidmat sebagai pendaftar pembedahan di Hospital Royal Brompton, London dari Julai 1981 hingga November 1983 sebelum kembali ke Malaysia dan bertugas sebagai Pakar Pembedahan Kardiotorasik di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua dan perunding kanan pakar pembedahan kerdiotorasik di Jabatan Pembedahan Kardiotorasik hospital yang sama dan mengetuai jabatan itu sehingga Jun 1992.

Seterusnya, beliau memegang jawatan Ketua dan Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik di IJN dari Jun 1992 hingga Mac 2002 dan menjadi Pengarah Perubatan di IJN dari 22 Oktober 1998 hingga 22 Oktober 2002.

Antara pencapaian dan kejayaan beliau adalah mengetuai pembedahan pintasan jantung ke atas Dr Mahathir, perintis kepada penubuhan IJN Malaysia dan menjalankan pembedahan pemindahan jantung yang pertama di Malaysia.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut merasmikan pelancaran buku Heart to Heart.
Naskhah buku itu kemudiannya disampaikan di pentas kepada Dr Mahathir Mohamad dan isteri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Facebooknya menyifatkan buku yang dilancarkan hari ini merupakan legasi, lambang jasa dan kegigihan, simbol dedikasi serta kepakaran.

“Yang akan jadi rujukan ilmu, didikan dan inspirasi buat ramai insan di luar sana. Terima kasih Tan Sri Dr Yahya Awang!,” tulisnya yang hadir bersama isteri menyaksikan detik bermakna itu.

Katanya, lebih empat dekad Dr Yahya menabur jasa dalam sektor perubatan kardiotorasik negara pernah mengetuai pembedahan jantung Dr Mahathir serta melaksanakan pembedahan pemindahan jantung pertama di Malaysia.

Menurut Hishammuddin, abang iparnya itu juga menjadi perintis penubuhan Institut Jantung Negara (IJN)

(Foto fb Hishammuddin Hussein)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment