SURIN – Thailand berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraannya dalam konflik sempadan dengan Kemboja, manakala Kemboja mengumumkan penutupan semua pintu sempadan dengan Thailand serta-merta semalam.
Situasi ini berlaku ketika pertempuran sengit antara kedua-dua negara jiran itu terus berlarutan meskipun terdapat dakwaan gencatan senjata.
Ini bermakna kenyataan terdahulu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, termasuk dakwaan beliau berjaya menjadi perantara gencatan senjata antara kedua-dua pihak tidak mencerminkan pemahaman sebenar terhadap situasi semasa.
Ketika pertempuran memasuki hari keenam semalam, Kementerian Penerangan Kemboja menuduh Thailand meningkatkan serangan ke kawasan kampung dan infrastruktur awam dengan mendakwa tentera Thailand mengerahkan pesawat pejuang untuk mengebom sebuah hotel serta dua jambatan di daerah Veal Veng, wilayah Pursat di barat negara itu.
Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa, tentera Thailand melakukan serangan tanpa henti dan terus menerus mengebom.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam satu kenyataan berkata, semua pergerakan keluar masuk di sempadan Kemboja–Thailand digantung sehingga diberitahu kelak.
Langkah itu diambil selepas serangan udara oleh tentera Thailand dilaporkan berterusan, termasuk penggunaan jet pejuang F-16 yang menjatuhkan bom ke atas beberapa sasaran di wilayah sempadan pada 13 Disember.
Pertempuran yang berlarutan sejak Mei 2025 berpunca daripada pertikaian sempadan sepanjang 800 kilometer yang telah lama menjadi isu antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, berkata beliau sudah memohon supaya Pasukan Pemerhati ASEAN dikerahkan, dipimpin oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, bagi memantau perkembangan di lapangan dalam usaha menyokong penyaheskalasian dan meningkatkan ketelusan.
Misi itu akan disokong dengan keupayaan pemantauan satelit yang disediakan oleh kerajaan AS dengan dapatan akan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Selasa ini.
Serangan udara Thailand berlaku hanya beberapa jam selepas Trump mendakwa beliau berjaya merundingkan gencatan senjata selepas berbincang dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, kelmarin.
“Mereka bersetuju untuk menghentikan semua serangan berkuat kuasa malam ini dan kembali kepada perjanjian damai asal yang dibuat dengan saya dan bantuan Perdana Menteri Malaysia yang hebat, Anwar Ibrahim,” tulis Trump di platform Truth Social.
Beliau merujuk kepada perisytiharan bersama yang ditandatangani Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur pada Oktober lalu yang memperluas gencatan senjata terdahulu yang dipersetujui selepas lima hari pertempuran pada Julai lalu.
Nnn
