Tarik balik larangan wanita bekerja

KABUL – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pihak berkuasa Taliban menarik balik larangan terhadap wanita Afghanistan bekerja di pejabatnya kerana ia berpotensi menjejaskan perkhidmatan penting yang menyelamatkan nyawa.

Pihak berkuasa Taliban mula menghalang kakitangan wanita daripada memasuki pejabat PBB pada September lalu.

Sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021, wanita Afghanistan dilarang melakukan kebanyakan pekerjaan, mengunjungi taman dan salun kecantikan serta bersekolah selepas usia 12 tahun.

Wakil Khas agensi wanita PBB di Afghanistan, Susan Ferguson, dalam kenyataan menggesa larangan terhadap kakitangan dan kontraktor wanita Afghanistan daripada memasuki premis PBB ditarik balik, dan memastikan akses selamat mereka ke pejabat serta lapangan.

“Semakin lama sekatan ini dikuatkuasakan, semakin besar risiko terhadap perkhidmatan penting ini,” katanya, sambil menambah tindakan itu melanggar prinsip hak asasi manusia dan kesaksamaan PBB.

Related posts

Leave a Comment