MADINAH – Waktu lawatan ke Al-Rawdah Al-Sharifah di Masjid Nabawi bagi lelaki dibenarkan mulai pukul 2 pagi hingga solat Subuh dan sekali lagi dari 11.20 pagi hingga solat Isyak.
Pada Jumaat, lelaki mempunyai tambahan waktu mulai 9.20 pagi hingga 11.20 pagi serta dari selepas solat Jumaat hingga solat Isyak.
Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ketika mengumumkan demikian memaklumkan, bagi wanita, lawatan bermula selepas solat Subuh hingga 11 pagi, dan malam mulai selepas Isyak hingga 2 pagi.
Pada Jumaat, sesi pagi berakhir lebih awal iaitu dari selepas solat Subuh hingga 9 pagi, sementara waktu malam kekal sama (selepas solat isyak hingga 2 pagi).
Lawatan harian itu adalah dengan syarat permit diperoleh melalui platform Nusuk (sah sekali setiap 365 hari) atau laluan akses segera berhampiran masjid bagi memastikan pergerakan pengunjung terkawal.
Kemasukan lawatan dikawal sepenuhnya melalui pekarangan selatan di hadapan Pintu Makkah 37 mengikut laluan yang ditetapkan.
Pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa warga emas dibenarkan masuk dengan menggunakan kerusi roda tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan bagi memudahkan akses.
Nnn
