Trump terima Anugerah Keamanan FIFA

WASHINGTON – Selepas diketepikan untuk Hadiah Keamanan Nobel, President Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, akhirnya menerima pengiktirafan keamanan, daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Badan induk bola sepak dunia itu mengumumkan Trump sebagai penerima Anugerah Keamanan FIFA, yang julung kali diperkenalkan dan disampaikan semasa undian Piala Dunia 2026 di sini semalam.

Trump sebelum ini diketepikan untuk Hadiah Keamanan Nobel, apabila namanya tidak tersenarai sebagai penerima anugerah berprestij itu.

“Ini benar-benar antara penghormatan terbesar dalam hidup saya,” katanya pada majlis anugerah itu yang disampaikan Presiden FIFA, Gianni Infantino, berupa sebuah trofi emas, pingat emas serta sijil.

“Inilah hadiah untuk anda, anugerah keamanan,” kata Infantino kepada Trump.

Anugerah keamanan itu khusus ‘bagi menghargai individu yang mengambil tindakan luar biasa dan luar jangka untuk keamanan dan dengan usahanya, berhasil menyatukan masyarakat di seluruh dunia.’

FIFA turut memaparkan video yang menyentuh beberapa pencapaian Trump ke arah hadiah keamanan itu.

Trump telah menyokong usaha rundingan gencatan senjata dan menggalakkan pembabitan diplomatik, tindakan yang membantu mewujudkan keadaan di mana keamanan dapat bertapak.

Di bawah kepemimpinan Presiden Trump, Perjanjian Abraham bersejarah telah ditandatangani, membawa kemajuan sebenar pertama di Asia Barat dalam tempoh beberapa dekad.

Kepemimpinan beliau memastikan keamanan wujud antara Republik Demokratik Congo dan Rwanda; Kemboja dan Thailand; Kosovo dan Serbia; India dan Pakistan; Mesir dan Ethiopia; serta Armenia dan Azerbaijan.

Menurut video itu lagi, tindakan Trump juga memastikan keamanan wujud antara Israel dan Hamas melalui rundingan Pelan Keamanan Gaza dan beliau terus berusaha membawa keamanan berkekalan antara Rusia dan Ukraine.

“Ini adalah tempoh presiden yang ditandai dengan tindakan untuk mencapai keamanan di seluruh dunia,” kata FIFA menerusi video berkenaan.

Trump berkata, beliau berhasil menamatkan perang yang menyelamatkan berjuta-juta nyawa sepanjang penggal keduanya sebagai presiden.

“Dunia kini lebih selamat. AS setahun lalu tidak berada dalam keadaan baik, dan kini saya boleh katakan kami adalah negara dengan paling hebat di dunia dan kami akan pastikan ia kekal begitu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment