HONG KONG – Sekurang-kurangnya 83 orang disahkan maut ketika pasukan bomba terus giat mencari lebih 270 mangsa kebakaran besar yang memusnahkan tujuh daripada lapan blok pangsapuri tinggi di Wang Fuk Court, daerah Tai Po.
Insiden yang disifatkan sebagai kebakaran paling dahsyat di bandar raya itu sejak lebih 70 tahun lalu bermula pada pukuk 2.51 petang waktu tempatan pada Rabu, dengan asap kelabu tebal dan api menjulang tinggi kelihatan dari kejauhan.
Menjelang pukul 6.22 petang, pihak berkuasa menaikkan tahap kebakaran kepada kategori lima, paling serius dalam sistem klasifikasi Hong Kong.
Ketuka kejadian, kompleks perumahan yang menempatkan lebih 4,600 penduduk itu sedang menjalani kerja pengubahsuaian besar dan polis percaya bahan binaan di bahagian luar bangunan, termasuk kepingan plastik, jaring mesh dan polistirena, mungkin mempercepatkan penyebaran api.
Struktur perancah buluh yang menghubungkan blok-blok pangsapuri turut disyaki menjadi faktor penyumbang.
Susulan itu, tiga eksekutif firma pembinaan telah ditahan atas dakwaan cuai dan menyebabkan kematian.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, berikrar akan menjalankan siasatan menyeluruh dan telah mengarahkan pemeriksaan ke atas semua estet perumahan yang sedang menjalani pembaikan besar.
Seorang anggota bomba, Ho Wai-ho, 37, turut terkorban selepas hilang komunikasi selama 30 minit manakala 11 anggota lain cedera dalam operasi menyelamat yang berdepan cabaran suhu ekstrem, serpihan runtuhan dan risiko perancah roboh.
Setakat ini, 55 mangsa telah berjaya diselamatkan.
Suasana di Hong Kong kini bertukar dari terkejut kepada marah, dengan persoalan semakin memuncak mengenai pihak yang harus bertanggungjawab.
Penduduk mendakwa sistem penggera kebakaran tidak berfungsi ketika kejadian, dipercayai dimatikan semasa kerja pembinaan.
Aduan berhubung kos pengubahsuaian dan pematuhan bahan binaan terhadap piawaian keselamatan turut tular semula di media sosial.
Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong telah mengumumkan siasatan jenayah terhadap kerja pengubahsuaian tersebut.
Nnnnn
