BEIRUT – Seorang komander tertinggi Hezbollah, Haytham Ali Tabatabai, terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas ibu negara Lubnan, Beirut, pada Ahad, menandakan serangan pertama ke bandar itu dalam beberapa bulan.
Ketua staf sayap bersenjata Hezbollah itu, terbunuh bersama sekurang-kurangnya empat individu lain apabila sebuah pangsapuri di kawasan Dahiyeh, kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut, dibedil oleh tentera Israel.
Dalam satu kenyataan, Hezbollah mengesahkan kematian “komander agung” itu dan menyifatkan serangan tersebut sebagai “pengkhianatan” yang membuka ruang kepada peningkatan serangan di seluruh Lubnan.
Anak kepada ibu warga Lubnan dan bapa warga Iran itu dilahirkan di Beirut pada 1968, membesar di selatan Lubnan dan menyertai Hezbollah ketika berusia 12 tahun.
Haytham merupakan pegawai paling kanan Hezbollah yang terbunuh sejak gencatan senjata pada November 2024, yang bertujuan menamatkan konflik lebih setahun antara kedua-dua pihak.
Tentera Israel menyatakan bahawa mereka telah “menghapuskan” Haytham dalam serangan itu, manakala pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengesahkan beliau adalah sasaran utama operasi tersebut.
Media Israel melaporkan ini merupakan cubaan ketiga tentera negara itu untuk membunuh Tabatabai sejak perang tahun lalu.
Pegawai kanan Hezbollah, Mahmoud Qmati, menyifatkan serangan itu sebagai “melampaui garis merah” dan berkata kepemimpinan kumpulan itu sedang mempertimbangkan tindak balas.
“Serangan ke atas selatan Beirut hari ini membuka pintu kepada peningkatan serangan di seluruh Lubnan,” katanya.
