KUALA LUMPUR 29 Okt. – Pembangkang tidak mempersoalkan kredibiliti penjawat awam sebaliknya hanya membangkitkan isu terkait kandungan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin berkata, pihak kerajaan tidak seharusnya melenting lalu terus menuding ke arah Ahli Parlimen pembangkang kononnya mempersoal kredibiliti penjawat awam.
Sebagai individu yang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar, beliau tahu kesibukan bekerja pada waktu berbeza kerana pernah berada dalam situasi itu termasuk merasai pengalaman bekerja dengan penjawat awam.
“Jika anda jumpa penjawat awam, anda tahu mereka akan beritahu kami, kami berkhidmat untuk government of the day (kerajaan semasa). Maknanya dia menurut perintah kerajaan yang ada hari ini. Kita faham. Dia pun pernah berkhidmat untuk kita (semasa Perikatan Nasional menjadi kerajaan).
Yang kita persoalkan adalah kamu sebagai Menteri yang bersetuju dengan artikel yang kita bentangkan ini. Yang nak melenting seolah-olah kami tak bersetuju dengan penjawat awam bahawa tak berterima kasih dengan pegawai kerajaan tak tidur, zon waktu berbeza 12 jam. Apa ini?
Saya pernah jadi Timbalan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah pernah jadi Menteri Luar. Kami tahu (bekerja dalam) zon waktu (berbeza).
“Dalam lapan hari tujuh negara saya berkunjung untuk berbincang, bertemu dengan pemimpin-pemimpin (asing). Sebab itu kita tahu mereka (penjawat awam) bekerja,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz sewaktu memberikan penerangan khas mengenai ART antara Malaysia-AS di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam sesi penerangan itu, Tengku Zafrul berkata, ada pihak yang menghina penjawat awam termasuk Ketua Setiausaha kementerian, namun tidak mendedahkan secara spesifik siapa berbuat demikian.
Menurut Tengku Zafrul, beliau turut kecewa apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang mempersenda usaha pasukan perunding negara yang terlibat dalam rundingan tarif dua hala itu.
“Saya kecewa bila ada dalam Dewan ini persenda usaha pasukan perunding kita. Saya faham kalau ada serangan bermotif politik tapi jangan perlekeh usaha dan pengorbanan penjawat awam yang pastikan kedaulatan negara terus terjamin.
“Malah ada Ahli Parlimen yang kata perjanjian ini gadaikan negara tercinta kita. Saya ingin tanya kembali, adakah Yang Berhormat (YB) maksudkan penjawat awam ini juga mahu menggadai negara, cukup-cukuplah berpolitik,” katanya.
Nnnn
