Letupan kilang bahan letupan di AS

WASHINGTON – Satu letupan besar menggegarkan sebuah kilang bahan letupan tentera di Amerika Syarikat (AS) semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 19 mangsa dilaporkan hilang manakala beberapa lagi disahkan maut.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, letupan itu menyebabkan pasukan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa yang terselamat.

Siaran media tempatan menunjukkan serpihan hangus berselerakan di kilang milik Accurate Energetic Systems di Bucksnort, daerah Hickman, Tennessee, dengan kenderaan yang rentung dan rosak teruk berselerakan di seluruh kawasan kilang itu.

Sheriff Daerah Humphreys, Chris Davis, berkata setakat ini pihaknya mengesahkan sedang mencari 19 individu lagi.

Ditanya mengenai keadaan bangunan yang terbabit dalam letupan itu, Davis berkata, tiada apa yang boleh digambarkan kerana ia sudah musnah sepenuhnya dan setakat ini, punca letupan masih belum dikenal pasti.

Ketika pihak berkuasa giat menjalankan siasatan dan operasi mencari, mereka turut mengakui betapa peritnya penantian buat keluarga mangsa yang hilang.

Sementara itu, Gabenor Tennessee, Bill Lee, berkata, agensi kerajaan negeri kini bekerjasama dengan agensi Persekutuan dan tempatan dalam usaha tindak balas.

“Kami mohon rakyat Tennessee bersama-sama mendoakan keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan tragik ini,” tulisnya di platform X.

Syarikat Accurate Energetic Systems, pengeluar bahan letupan yang ditubuhkan pada tahun 1980, belum memberikan sebarang maklum balas.

Dilaporkan, syarikat ini menghasilkan pelbagai komposisi bahan letupan berkuasa tinggi dan produk khusus untuk Jabatan Pertahanan AS serta pasaran industri domestik.

Nnn

Related posts

Leave a Comment