Dijemput “kenduri ASEAN” bukan “kenduri Malaysia “

SEPANG 4 Okt. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijemput menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini sebagai ketua negara rakan dialog ASEAN bukannya jemputan dua hala oleh Malaysia.

Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata sebagai Pengerusi ASEAN Malaysia bertanggungjawab menjemput semua ketua negara anggota ASEAN dan rakan dialog ke sidang kemuncak berkenaan.

“Malaysia adalah pengerusi ASEAN tahun ini, jadi sebagai pengerusi kita menjemput semua ketua negara untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke- 46 dan 47. Sidang Kemuncak Ke-46 sudah selesai dan yang ke-47 akan berlangsung pada 27 dan 28 hari bulan ini.

Jadi jemputan ini secara jemputan kepada semua ketua negara. Kita tidak boleh pula jemput orang itu, yang ini tak jemput, itu tidak boleh,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), di sini, hari ini.

Mohamad menjelaskan jemputan itu bukan keputusan Malaysia secara individu, sebaliknya jemputan rasmi ASEAN kepada semua pemimpin.

Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, bukan sebagai Malaysia. Jemputan ini bukan jemputan dua hala biasa, (sebaliknya) jemputan secara ASEAN kerana ‘kenduri’ ini ‘kenduri’ ASEAN, bukan ‘kenduri’ Malaysia.

“Malaysia jadi tuan rumah, jadi kendurinya adalah ‘kenduri’ ASEAN. Jadi kita ‘Datuk Lembaga’ (pengerusi) ASEAN tahun ini, kita jemput semua ‘anak buah’ ataupun ‘ketua masyarakat’ yang lain.

“Kita tak bolehlah kata masyarakat A itu tak jemput, masyarakat B kita jemput.. itu bukan diplomatik,” katanya yang turut menegaskan ASEAN berpegang kepada dasar berkecuali sebagai teras kepada kerjasama serantau yang bebas dan aman.

Tegasnya, ASEAN mesti diuruskan sebagai kumpulan negara yang mengamalkan dasar yang berkecuali.

Itu kekuatan ASEAN. “The centrality of ASEAN based on neutrality’ (Keutamaan ASEAN berpaksikan sikap berkecuali). Begitu juga Malaysia. Tapi ASEAN ini terasnya dasar sebagai rantau yang bebas, aman dan berkecuali. Jadi, kita jemput semua dan dia nak datang, takkan nak kata tidak boleh pula,” katanya.

Terdahulu pelbagai pihak termasuk pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan membantah kehadiran Trump ke Malaysia susulan dasar luar negara itu terhadap Asia Barat dan Palestin.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment