BANGKOK – Bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, diarah menjalani hukuman penjara setahun selepas Mahkamah Agung memutuskan hukuman penjara yang dijatuhkan pada 2023 tidak dilaksanakan dengan betul.
Menurut keputusan hakim, tertuduh perlu menjalani baki hukuman penjara yang dielakkannya ketika dalam tahanan hospital.
“Mahkamah akan mengeluarkan waran penjara dan pegawai dari Penjara Reman Bangkok akan membawanya ke penjara,” demikian menurut keputusan yang dibacakan oleh hakim.
Thaksin, 76, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa selepas pulang ke negara itu pada Ogos 2023, setelah bertahun-tahun hidup dalam buangan.
Bagaimanapun, beliau tidak pernah bermalam di dalam sel penjara, sebaliknya dihantar terus ke bilik hospital swasta, sebelum hukumannya dikurangkan kepada setahun melalui pengampunan diraja, kemudian dibebaskan awal menerusi skim pelepasan untuk banduan warga emas.
“Menghantarnya ke hospital adalah tidak sah, defendan tahu penyakitnya bukan kes kecemasan, dan berada di hospital tidak boleh dikira sebagai tempoh penjara,” kata keputusan mahkamah.
Thaksin dan kem politiknya sebelum ini berdepan tempoh cabaran politik susulan anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, dipecat sebagai perdana menteri oleh mahkamah 11 hari lalu, menjadikan beliau perdana menteri keenam dari atau disokong oleh keluarga Shinawatra yang disingkirkan oleh badan kehakiman atau tentera.
Sebelum kejatuhan kerajaan Paetongtarn, huru-hara politik berlaku apabila kerajaan pimpinannya tumbang setelah dikalahkan oleh pencabar, Anutin Charnvirakul, yang dipilih sebagai perdana menteri oleh Parlimen.
Mahkamah juga sebelum ini telah menyita rekod perubatan Thaksin dan memanggil 20 saksi, termasuk bekas ketua jabatan pemulihan dan pakar perubatan yang merawatnya.
Dalam pada itu, Majlis Perubatan Thailand menggantung dua doktor kerana mengeluarkan dokumen yang mengandungi maklumat perubatan palsu manakala seorang doktor penjara diberi amaran kerana gagal mematuhi piawaian perubatan dalam merujuk Thaksin untuk rawatan hospital.
Paetongtarn, ketika ditemui di luar Mahkamah Agung, berkata bapanya masih ‘bersemangat’ walaupun dijatuhi hukuman penjara setahun.
“Ayah saya tetap menjadi pemimpin berjiwa besar, sama ada melalui peranan politiknya sebelum ini, sumbangannya kepada negara, atau keikhlasannya untuk menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan kehidupan rakyat,” katanya.
Khamis lalu, Thaksin dilaporkan secara rahsia berangkat ke Dubai, di mana beliau menghabiskan sebahagian besar masa buangannya sehingga mencetuskan spekulasi bahawa beliau melarikan diri, tetapi beliau kembali Isnin lalu dan berjanji akan menghadiri keputusan mahkamah itu.
Nnn
