Pakej umrah promosi istimewa

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Peluang umrah dengan diskaun RM200 bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dan penerbangan Saudia akan berakhir esok (Ahad 7 September) sempena MATTA Fair yang berlangsung sejak semalam.

Pakej umrah musim 1448H itu yang bermula Jun hingga Oktober 2026 adalah bernilai RM7,490 sebelum diskaun (bilik berempat atau berlima) berbanding RM7,890 yang ditawarkan pada musim sebelum ini.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah berkata, bakal jemaah boleh mengambil peluang ini dengan mengunjungi MATTA Fair yang sedang berlangsung di MITEC atau mengunjungi cawangan Andalusia di seluruh negara.

Menurutnya, pakej istimewa itu antara yang terendah pernah ditawarkan meliputi perjalanan bagi musim selepas haji, awal Muharam serta bulan Maulidur Rasul.

Bercakap kepada media di reruai Andalusia MATTA Fair, beliau memberitahu lokasi hotel di Makkah adalah dalam jarak 350 hingga 450 meter (m) dari Dataran Masjidilharam.

Hotel berkenaan adalah Olayan Al Haram, Malak Ajyad, Elaf Al Khair, Emaar Sultan atau yang setaraf manakala di Madinah, jemaah akan menginap di Hayah Plaza, Qasr Al Ansar dan setaraf dengan jarak sekitar 180 m ke Masjid Nabawi.

Md Daud yang berpengalaman luas dalam mengendalikan umrah berkata, keistimewaan penerbangan Saudia ini adalah keselesaan penumpang dengan seat kelas ekonomi yang lebih luas serta ruang solat di dalam pesawat.

“Keistimewaan Saudia ialah ruang solat di dalam pesawat yang mampu memuatkan sehingga enam jemaah pada satu masa. Setiap kali masuk waktu, pengumuman dibuat bagi membolehkan penumpang menunaikan solat secara berjemaah.

“Ini kelebihan besar untuk jemaah yang menunaikan umrah kerana solat berjemaah tetap dapat dilaksanakan walaupun pada ketinggian 35,000 kaki. Sebagai pendakwah dan pembimbing, saya tekankan kepada jemaah agar tidak meninggalkan solat,” katanya.

Selain itu, semua penerbangan dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner, model terkini yang menawarkan keselesaan dan teknologi moden.

Pesawat Dreamliner siri 900 menyediakan 274 tempat duduk ekonomi serta 24 kelas perniagaan, manakala Dreamliner siri 10 menyediakan 333 tempat duduk ekonomi dengan 24 kelas perniagaan.

“Ini memberi pengalaman terbaik kepada jemaah,” ujarnya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment