SEPANG 27 Ogos – “Rumah dan tanah kita milik kita. Bukan milik majoriti!!” demikian mesej Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025.
Beliau berkata, RUU itu menurunkan ambang persetujuan untuk pembaharuan bandar sedangkan zaman BN dahulu, kerajaan boleh membangunkan bandar tanpa mengurangkan ambang persetujuan.
“Esok akan dibentangkan RUU URA. Antara perkara yang kita tak boleh terima adalah untuk menurunkan ambang persetujuan. Kalau dulu nak bangunkan satu kawasan bandar, mesti dapatkan 100 peratus persetujuan.
“Tapi kali ini nak turun kepada 80 peratus dan juga 75 peratus. Maksudnya, rumah kita, tanah kita adalah milik majoriti. Bukan milik kita.. ini sangat-sangat bertentang dalam juga dalam Perlembagaan.
Kerana setiap manusia ataupun setiap rakyat Malaysia dalam negara ini mestilah dilindungi,” katanya menerusi satu hantaran videonya di Facebook.
Justeru beliau memohon semua sahabat Ahli Parlimen BN untuk menolak dahulu dan ditambah baik RUU itu supaya tidak memberikan kesan kepada generasi masa hadapan.
Beliau turut menarik perhatian mengenai pembangunan Razak Mansion yang dilaksana pada 2017 yang mendapat persetujuan 100 peratus.
“Kalau dulu zaman Barisan Nasional (BN) boleh kita bangunkan Razak Mansion dengan persetujuan 100 peratus, kenapa tidak pada hari ini? Kita tolak dulu rang undang-undang ini dan kita tambah baik barulah kita bentangkan semula.
Keputusan yang kita buat hari ini akan menentukan masa depan generasi kita pada masa akan datang,” katanya.
Untuk rekod RUU tersebut menetapkan ambang persetujuan 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, 75 peratus bagi bangunan lebih lama, dan hanya 51 peratus untuk bangunan terbengkalai.
Bagaimanapun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertahankan RUU itu dengan menyatakan ia memberi manfaat kepada pemilik rumah termasuk jaminan unit pengganti lebih besar serta nilai lebih tinggi tanpa kos tambahan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pembentangan RUU itu akan diteruskan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, esok.
Katanya, pembentangan RUU itu bertujuan menetapkan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif di sebalik segelintir pihak, termasuk Ahli Parlimen yang menentang RUU berkenaan.
Kor Ming menyifatkan, pihak yang menentang RUU itu hanya bermain dengan sentimen dan politik.
Nnnn
