Sisa : MCMC rakam keterangan tiga individu

PUTRAJAYA 5 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan tiga individu berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

Kenyataan MCMC memaklumkan, rakaman keterangan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor hari ini selain menyita tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM bagi membantu siasatan.

Menurut MCMC, kandungan video itu dipercayai bersifat jelik melampau dan mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

Kenyataan itu memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu MCMC dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya memandang serius tindakan menghasilkan dan menyebarkan kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan serta menimbulkan keresahan orang ramai.

“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” kata kenyataan itu.

MCMC memaklumkan siasatan terhadap kandungan itu sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurut kenyataan itu, MCMC komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat.

“Orang ramai diingatkan tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588]. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut MCMC. 

Related posts

Leave a Comment