Subsidi petrol: Muhyiddin nafi dakwaan Anwar

PUTRAJAYA 5 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau mengeluarkan kenyataan mempertahankan warga asing untuk turut menerima subsidi petrol RON95.

Ahli Parlimen Pagoh itu menyifatkan tuduhan itu merupakan satu pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya sebenarnya tidak pernah cakap begitu. Saya mempertikaikan dengan sekeras-kerasnya kenyataan itu sebagai satu kenyataan berfitnah atau pembohongan.

“Apatah lagi yang memberikan penjelasan itu ialah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di dalam Parlimen,” katanya.

Tegas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, sejak dahulu lagi dasar subsidi minyak negara hanya diperuntukkan kepada rakyat Malaysia bukannya warga asing.

Sehubungan itu, Muhyiddin mempersoalkan sumber yang dirujuk Anwar ketika membuat kenyataan tersebut di Dewan Rakyat.

“Apabila ada kenyataan dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan dia kata dia baca, saya nak tahu dia baca di mana? Buku apa? Video apa? Atau sidang media mana yang saya telah buat? Yang pastinya tidak ada.

“Perdana Menteri tidak buat semakan yang betul dan buat kenyataan di Parlimen seolah-olah semuanya betul. Saya nyatakan ia adalah suatu pembohongan,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial hari ini.

Susulan itu, beliau mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti sahih berhubung kenyataan yang didakwa tersebut.

“Saya minta Perdana Menteri memberikan bukti dalam sehari dua ni, daripada sumber mana yang didapatkan dan sama ada sumber itu sahih ataupun fake (palsu)

Dan kalau ia fake, bermakna itu sudah merupakan suatu fitnah dan pembohongan,” tegasnya.

Terdahulu, Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment