Menyelamatkan PN perkara paling penting

MARANG 20 Feb. – Menyelamatkan Perikatan Nasional (PN), antara perkara paling penting dalam mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi (MT) PN Ahad ini di samping  membincangkan calon pengerusi baharu serta menyentuh pelantikan ketua pembangkang baharu di Parlimen.

Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden Pas Abdul Hadi Awang, berkata Pas pada mesyuarat dijadual di Ibu Pejabat Pas di ibu negara akan mengambil alih teraju PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh pada akhir Disember lalu.

“Kita akan bincang dan putuskan pengerusi baharu PN dan tak tolak kemungkinan turut dibincangkan hal ketua pembangkang di Parlimen. Setakat ini Pas belum buat keputusan mengenai jawatan ketua pembangkang, mungkin dibincangkan pada mesyuarat Ahad ini,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas perlu berusaha menyelamatkan PN kerana mentadbir negara memerlukan kerjasama semua pihak.

Mengulas kunjungan Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu, beliau mengakui bekas Timbalan Presiden Bersatu itu ada menemuinya, malah pihaknya turut menerima kunjungan wakil Muhyiddin yang diketuai Naib Presiden,Dr Radzi Jidin.

“Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak, iaitu kumpulan Hamzah dan Muhyiddin, masing-masing mengemukakan hujah dan kita akan berusaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan,” katanya.

Mengulas cadangan Hamzah untuk menubuhkan parti baharu dan ‘rumah baharu’, Abdul Hadi berkata, terserah kepada Ahli Parlimen Larut itu untuk membuat keputusan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment