KUALA LUMPUR 20 Feb. – Lebih 4,000 perwakilan Kongres khas Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 12 Julai ini akan menentukan sama ada pemimpin mereka dalam kerajaan harus berundur atau sebaliknya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyifatkan kongres itu sebagai “referendum dalaman”. yang memberi kuasa penuh kepada perwakilan menentukan hala tuju parti, susulan kemerosotan sokongan terhadap DAP, khususnya selepas prestasi buruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bagaimanapun, memetik laporan Sin Chew Daily, beliau menegaskan, apa juga keputusan perwakilan, 40 Ahli Parlimen DAP tetap akan menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Katanya, peranan 40 anggota Parlimen akan memastikan kestabilan kerajaan, tetapi dalam kerajaan, sama ada untuk terus menjadi menteri atau timbalan menteri, atau meletak jawatan daripada semua jawatan rasmi, termasuk ahli majlis tempatan dan jawatan dalam agensi berkaitan kerajaan, terpulang kepada perwakilan.
Loke menegaskan, DAP tidak boleh berada dalam keadaan “mentadbir sambil menentang kerajaan”, dan sekiranya parti memilih untuk kekal dalam kerajaan, semua pemimpin serta ahli mesti memikul tanggungjawab dan tekanan tadbir urus secara kolektif.
“Kita tidak boleh mahu mentadbir tanpa menanggung beban tadbir urus. Sebaik sahaja kongres memutuskan untuk kekal dalam kerajaan, seluruh DAP mesti berkongsi tanggungjawab dan bertindak bersama,” katanya.
Kongres kebangsaan tahunan DAP yang sepatutnya berlangsung pada September sebelum ini turut diawalkan ke Julai bagi membolehkan keputusan strategik ini dibuat lebih awal.
Keputusan mengadakan kongres khas ini dibuat susulan kekalahan teruk DAP dalam PRN Sabah, apabila parti itu gagal memenangi semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk gagal mempertahankan enam kerusi yang dimenangi dengan majoriti besar pada pilihan raya 2020.
Loke mengakui keputusan tersebut merupakan “mesej yang jelas dan kuat daripada pengundi”, sekali gus mencerminkan krisis keyakinan serius yang dihadapi DAP dan Pakatan Harapan di negeri berkenaan.
Susulan itu, DAP berikrar untuk mengumpulkan maklum balas pengundi Sabah dan bekerjasama rapat dengan Anwar bagi mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan.
Loke jugamenegaskan tindakan DAP ini bukan satu ancaman kepada Anwar atau Kerajaan Perpaduan, dan menolak sebarang dakwaan parti itu mahu menyertai “kerajaan pintu belakang”.
“Ini bukan ancaman, tetapi kajian semula peranan kami dalam kerajaan. Kami akan memastikan kestabilan kerajaan,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran agar tiada mana-mana pihak dalam parti mencetuskan kekeliruan atau agenda peribadi selepas keputusan dibuat.
“Jika mahu kekal, kekal. Jika mahu keluar, keluar. Tidak boleh ada kekaburan. Sebaik sahaja keputusan dibuat oleh perwakilan, seluruh parti mesti patuh dan bergerak seiring,” katanya.
Nnnn
