SEPANG 0 Feb . – “Apa salah saya sampai dikatakan sebegini,” demikian reaksi Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh terhadap kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang menyifatkan pandangannya sebagai satu ‘kegilaan’.
Menerusi hantaran ringkas di media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan bahawa beliau hanya memberikan pandangan untuk partinya sendiri tanpa menyentuh mana-mana parti lain.
“Bila kita beri pandangan untuk parti sendiri tanpa sentuh parti orang lain dianggap kita gila pula. Apa salah saya sampai dikatakan sebegini.
Moga ALLAH SWT berikan yang baik-baik untuk pak cik Khalid Samad,” tulisnya yang kini berada di Madinah.
Sebelum ini, Dr Akmal berpandangan penyatuan Melayu antara dua parti terbesar, UMNO dan Pas perlu segera dimulakan di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
Cadangan itu disambut Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan perkara itu akan diputuskan melalui saluran rasmi.
Khalid dalam kenyataannya berkata, Amanah mula menggerakkan jenteranya untuk hadapi kemungkinan tiga atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti kegilaan Dr Akmal.
NNn
