Putin ‘hamba kepada perang’

MUNICH – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menggelar Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai hamba perang susulan pencerobohan berterusan negara itu sehingga meragut ratusan ribu nyawa.

“Dia mungkin melihat dirinya sebagai seorang Tsar, tetapi hakikatnya dia adalah hamba kepada perang.” katanya ketika berucap pada Persidangan Keselamatan Munich.

Beliau menegaskan Kyiv sedang melakukan segala-galanya untuk menamatkan perang dengan Moscow, antaranya menerusi rundingan terbaru yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.

Zelensky dalam ucapannya turut mendedahkan serangan Moscow juga merosakkan setiap loji janakuasa di Ukraine.

Menjelang beberapa hari sebelum ulang tahun keempat pencerobohan Russia terhadap Ukraine, Zelensky menegaskan ia bukan saja memusnahkan wilayah timur negara itu tetapi juga mengorbankan ratusan ribu nyawa selain memaksa jutaan penduduk melarikan diri.

Sehubungan itu, Zelensky sekali lagi merayu kepada negara Barat mempercepat penghantaran sistem pertahanan udara ke Ukraine.

“Tiada satu pun loji janakuasa di Ukraine yang tidak rosak akibat serangan Russia. Tiada satu pun. Namun kami masih menjana elektrik,” katanya sambil memuji ribuan pekerja yang membaik pulih loji berkenaan.

Zelensky turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio di luar Persidangan Keselamatan Munich.

Related posts

Leave a Comment