KUALA LUMPUR 14 Feb. – Pemecatan pemimpin kanan parti termasuk, Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin tidak diputuskan sewenang-wenangnya, sebaliknya menerusi pelbagai usaha untuk mencari perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak terbabit.
Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata, usaha berkenaan bagaimanapun tidak berhasil, malah ada segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti, bertujuan memecah-belahkan Bersatu dan menggagalkan matlamat perjuangan parti.
“Sebagai Presiden dan pengasas parti Bersatu , saya bertanggungjawab memastikan parti terus kukuh dan berada di atas landasan perjuangan sebenar. Saya dan ramai lagi yang terbabit dalam perjuangan parti Bersatu sejak awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Selama beberapa tahun saya mengambil sikap yang berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman serta tekanan demi tekanan dari dalam parti sendiri.
“Saya juga sudah memberikan tempat dalam barisan kepimpinan parti kepada pihak yang saya tahu menentang saya,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, hari ini.
Semalam, Bersatu dilaporkan memecat 17 ahlinya membabitkan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain Hamzah, turut dipecat Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; ADUN Sungai Manik merangkap Ahli MPT, Zainol Fadzi Paharudin.
ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Setiausaha Bersatu Sabah merangkap Ketua Bersatu Libaran, Yunus Nurdin.
Selain itu, Ketua Bersatu Teluk Intan Kamaruddin Majid; Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi Hamzah (Larut) dan Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun).
Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Keahlian mereka dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu , selain berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan.
Berhubung pelantikan pemimpin tidak memihak kepadanya, Muhyiddin menjelaskan, pihaknya bersangka baik demi memastikan Bersatu terus bersatu-padu, kukuh dan dapat menjayakan tujuan dan matlamat perjuangan parti.
Malangnya, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, usaha berkenaan tidak dihargai kelompok terbabit, selain tindakan bercanggah perlembagaan dan disiplin parti dilakukan secara berterusan.
Keadaan itu, katanya, akan merosakkan Bersatu dan mengecewakan ahli yang setia dengan perjuangan parti, jika perbuatan kelompok terbabit dibiarkan berterusan berlaku.
“Justeru, saya dan rakan dalam barisan kepimpinan Bersatu bertekad, sudah tiba masanya proses disiplin parti yang termaktub dalam perlembagaan Bersatu hendaklah diambil untuk menyelamatkan parti.
“Ini adalah antara tindakan perlu diambil dan pilihan terbaik ketika ini dalam usaha memulihkan perpaduan dan menyelamatkan parti,” katanya.
Mesyuarat juga sepakat untuk terus mendokong perjuangan parti, membina semula parti, memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli dan memperkuatkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya menyeru ahli-ahli Bersatu kekal tenang sementara barisan kepemimpinan Bersatu yang bersama-sama saya mengemudi parti kembali ke landasan perjuangannya yang asal untuk membela nasib rakyat,” katanya.
Dalam pada itu MPT juga melantik Dr Mohd Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu menjalankan tugas Timbalan Presiden.
Nnnn
