Penyelaras GARAH ditahan

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Penyelaras perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamri Vinoth dan seorang lagi individu, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan bagi proses reman hari ini manakala 18 individu lain yang ditahan dalam perhimpunan malam tadi dibebaskan dengan jaminan polis sekitar pukul 3 pagi.

Peguam Haniff Khatri Abdulla, antara individu yang turut ditahan, mengesahkan perkara itu selepas keterangannya diambil oleh pihak polis.

Terdahulu, pihak polis mula melakukan tangkapan seawal pukul 8 malam terhadap individu yang dipercayai ingin menyertai perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram di pekarangan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, malam tadi.

Kehadiran anggota polis termasuk pasukan antirusuhan dilihat mengawal ketat kawasan sekitar Sogo dan Masjid Jamek Kampung Baru bagi menghalang peserta berkumpul.

Arahan bersurai dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, sekitar pukul 9.00 malam selepas kehadiran orang ramai mencecah lebih 100 orang.

Selain Zamri, Haniff dan Tamim antara yang ditahan ialah Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, Hisyamuddin Abu Bakar (Pengerusi UMMAH Negeri Melaka) dan aktivis PPIM, Gulab Jan Fazal Elad.

Turut ditahan ahli Prowaris, Iskandar Khoo Kuan Yiaw serta aktivis-aktivis anti rumah ibadat haram, Jamalee Bashah, Fatimah Mat Raji, Elza Nadiah Shaik Sulaiman, Jurasmadi Pauzi, Esma Hisham Zainol Nor dan Monashofian Putra Zulkarnain Indra Putra.

Terdahulu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengeluarkan amaran keras bahawa tindakan maksimum, termasuk tangkapan, akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keselamatan negara.

Beliau menegaskan bahawa meskipun rakyat bebas memberikan pandangan dan kritikan, kebebasan tersebut tidak merangkumi tindakan yang boleh dianggap sebagai pengkhianatan atau cubaan mempersulitkan keadaan negara.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, turut menggesa perhimpunan tersebut dibatalkan atas faktor ketenteraman.

Katanya, walaupun Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak lagi mewajibkan permit polis secara mutlak, pihak berkuasa masih mempunyai kuasa penuh untuk mengambil tindakan tegas sekiranya sesuatu perhimpunan dilihat mampu mengancam kestabilan dan keselamatan negara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment