Kuil: Tangani ikut undang-undang

GOMBAK 7 Feb. – Anwar Ibrahim menegaskan isu pembinaan kuil tanpa kebenaran mesti ditangani mengikut peraturan dan undang-undang, sama seperti pembinaan masjid, surau atau gereja.

Perdana Menteri, berkata bantahan terhadap pembinaan kuil haram boleh dilakukan, namun ia perlu dibuat secara berhemah tanpa menimbulkan permusuhan atau hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Saya tegaskan, kawan-kawan India, pernahkah saya tidak setuju dengan pertambahan kuil yang mengikut peraturan? Mesti ikut peraturan. Sama seperti masjid, surau atau gereja,” katanya di Konvensyen Keadilan Selangor di sini.

Anwar yang juga Presiden Keadilan turut mengingatkan bahawa tindakan segelintir pihak yang cuba menjadi ‘hero’ dengan membangkitkan isu ini secara melulu hanya akan menimbulkan kebencian dan perpecahan dalam masyarakat.

“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya kebencian, masalah tidak selesai. Sebab itu saya terpaksa keluarkan arahan tegas semalam untuk hentikan. Dah lama kita biarkan berlarutan, semua orang nak jadi hero. Sekarang orang pergi kawasan kuil jadi hero ekstrem, akhirnya kita korbankan kepentingan negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab utama beliau adalah menjaga keselamatan dan kestabilan negara, bukan memenuhi tuntutan segelintir pihak yang bersuara lantang.

“Musuh-musuh politik akan guna apa saja cara untuk melemahkan kekuatan kita. Sebab itu saya pilih sampaikan secara langsung kepada saudara di Keadilan Selangor, kerana saudara mampu betulkan naratif ini,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment