8 tren ETS tambahan musim perayaan

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Sempena Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan lapan perkhidmatan tren elektrik tambahan (ETS) bagi memenuhi keperluan perjalanan orang ramai.

Dalam kenyataannya, KTMB memaklumkan 26,460 tiket ETS tambahan mula dijual sejak 24 Januari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Perkhidmatan tambahan itu merangkumi laluan KL Sentral-Ipoh, KL Sentral-Butterworth-KL Sentral, KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral, JB Sentral-KL Sentral- JB Sentral dan JB Sentral-Butterworth-JB Sentral.

Operasi tren tambahan bagi Tahun Baharu Cina dijadualkan pada 13 hingga 22 Februari dengan laluan utama Padang Besar-KL Sentral (11.05 pagi), KL Sentral-Padang Besar (5 petang), KL Sentral-JB Sentral (11 malam) dan JB Sentral-KL Sentral (5.30 petang).

Pada 14 hingga 16 Februari serta 20 hingga 22 Februari pula, laluan melibatkan KL Sentral-Ipoh (10.50 pagi), Ipoh-KL Sentral (5.25 petang), Butterwoth-KL Sentral (6.10 pagi) dan KL Sentral- Butterworth (7.55 malam).

KTMB turut memperkenalkan perkhidmatan Electric Multiple Unit Plus (EMU+) pada 13 hingga 15 Februari dan 20 hingga 22 Februari ini bagi laluan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral, dengan kapasiti 1,200 penumpang sehari melalui empat perjalanan harian sepanjang tempoh operasi dan tiket bagi perkhidmatan itu telah habis dijual.

Untuk Aidilfitri, sebanyak 36,540 tiket tambahan akan ditawarkan mulai 1 Mac, 12 tengah hari melibatkan tempoh perjalanan 13 hingga 29 Mac, 16 hingga 20 Mac dan 23 hingga 29 Mac dengan laluan serta waktu berlepas yang sama.

Pertambahan tiket ETS dan EMU+ menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 70,200 tiket, dengan jumlah perjalanan perkhidmatan meningkat hingga 56 trip sehari.

“Langkah ini diambil bagi menampung peningkatan permintaan penumpang, sekali gus memberi lebih banyak pilihan perjalanan yang selesa, selamat dan menepati kehendak pengguna,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KTMB turut memaklumkan perkhidmatan ETS laluan JB Sentral-Butterworth-JB Sentral dikekalkan bermula 4 Februari ini dengan kekerapan tren ditingkatkan daripada dua trip sehari kepada empat trip sehari, menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS sebanyak 44 perjalanan sehari, berbanding 40 perjalanan sebelum ini, selaras dengan penerimaan empat set tren ETS3.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi www.ktmb.com.my atau menghubungi talian Pusat Panggilan KTMB 03-9779 1200.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment