PPP kembali anggotai BN

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sebelum ini memutuskan hubungan dengan Barisan Nasional (BN) pada Mei 2018 diterima kembali sebagai anggota parti komponen gabungan itu.

Berikutan penyertaan semula PPP, BN kini dianggotai lima parti komponen selain UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, mengumumkan demikian ketika menyampaikan ucapan merasmikan Perhimpunan Agung PPP Ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.

“Ini adalah pengumuman rasmi berdasarkan surat (daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan/ROS bertarikh 25 November 2025) yang saya bacakan tadi, dan tidak ada mana-mana parti boleh mempertikaikan kedudukan sah PPP dalam BN.

“Pada 21 Januari ini, satu formaliti akan dilakukan membabitkan satu agenda khas dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu (Sabah) dengan Presiden PPP dijemput,” katanya,  disambut sorakan gemuruh pemimpin dan ahli PPP.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden PPP,  Dr Loga Bala Mohan; Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita BN, Dr Noraini Ahmad; dan Ketua Pemuda BN, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Pada 14 Januari 2019, ROS melucutkan pendaftaran MyPPP susulan pergolakan kepemimpinan antara mendiang Maglin Dennis D’Cruz dengan M Kayveas.

Krisis berlarutan selama lima tahun itu berakhir 11 April tahun lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan rayuan MyPPP terhadap pelucutan pendaftaran dan mengesahkan keabsahan Majlis Tertinggi MyPPP diadakan pada 19 Mac 2023 yang memilih D’Cruz sebagai Presiden.

Terdahulu pada 19 Mei 2018, ketika krisis kepemimpinan mula tercetus dalam parti itu, Kayveas mengumumkan secara rasmi partinya menamatkan hubungan dengan BN.

Nnn

Related posts

Leave a Comment