COPENHAGEN – Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen menggesa Presiden Donald Trump menghentikan ancaman untuk mengambil alih Greenland, selepas beliau mengulangi hasrat itu dalam temu bual bersama majalah The Atlantic.
Katanya, adalah tidak masuk akal untuk bercakap tentang keperluan Amerika Syarikat (AS) menguasai Greenland. dan AS tidak mempunyai hak untuk menggabungkan mana-mana daripada tiga negara dalam Kerajaan Denmark.
“Saya dengan tegas menggesa AS menghentikan ancaman terhadap sekutu rapat bersejarah dan terhadap sebuah negara serta rakyat yang telah jelas menyatakan bahawa mereka tidak untuk dijual.”kata Frederiksen dalam kenyataan e-mel.
Kenyataan Frederiksen menyusul sehari selepas Washington melancarkan operasi ketenteraan di Venezuela yang membawa kepada penahanan Presiden Nicolas Maduro, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap Greenland.
Trump sebelum ini beberapa kali menyatakan hasrat menjadikan wilayah autonomi Denmark itu sebahagian daripada AS, mendakwa ia penting untuk keselamatan negara kerana kedudukannya yang strategik di Artik.
“Kami memang perlukan Greenland, sudah tentu. Kami perlukan ia untuk pertahanan,” kata Trump kepada The Atlantic.
Lewat Sabtu, Katie Miller, isteri Timbalan Ketua Staf White House Stephen Miller, memuat naik imej Greenland dengan warna bendera AS di platform X bersama kapsyen tunggal: “SEGERA.”
Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen menyifatkan hantaran itu sebagai “tidak menghormati”, sambil menegaskan: “Negara kami tidak untuk dijual, dan masa depan kami tidak ditentukan oleh hantaran media sosial.”
Duta Denmark ke AS, Jesper Moeller Soerensen turut memuat naik kenyataan balas, menuntut penghormatan penuh terhadap integriti wilayah Denmark, sambil mengingatkan bahawa Denmark – sebagai anggota NATO – telah meningkatkan usaha keselamatan Artik bersama AS.
