AHAD lalu, berpeluang hadir majlis penutup Program Umrah Percuma 2.0 Anak Muda Jati Kelantan yang berlangsung di Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala, Melor, Kota Bharu Kelantan.
Program anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dengan kerjasama masjid itu bermula pada 8 Disember 2025, bermakna 20 hari, 90 peserta berkampung di kawasan berkenaan untuk melayakkan mereka menunaikan umrah.
Masjid yang tersergam indah itu juga dibangunkan oleh Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin yang berasal dari kawasan berkenaan.
Ini adalah kali kedua Andalusia menaja program umrah di mana musim pertama seramai 65 peserta – 36 lelaki dan 29 perempuan, melibatkan pakej selama 12 hari 10 malam dengan penerbangan umrah pada 29 Disember 2024
Selepas pengalaman pertama, Andalusia dan Masjid Imanul Fa’izin, tampil dengan pendekatan baharu. Kali ini dengan Modul Pembinaan Jiwa dan Modal Insan.
Jika pada musim pertama, peserta wajib hadir solat Subuh, Maghrib, Isyak secara berjemaah di masjid berkenaan selama 30 hari (90 waktu), tetapi pada kali ini, peserta perlu ‘berkampung’ selama 20 hari, bermakna 100 waktu solat berjemaah.
Kali ini, program yang bermula 7 hingga 28 Disember menuntut komitmen yang lebih besar dan peserta pula melibatkan jajahan yang lebih jauh termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, dan Pasir Mas.
Menurut Bendahari Masjid Imanul Faizin, Rohani Md Yusof, tahun ini peserta diberikan penginapan, makan minum tiga kali sehari serta perlu menghadiri beberapa kelas yang disediakan selain solat berjemaah lima waktu.
Seperti sebelum ini, peserta yang layak dipilih adalah berusia 20 hingga 35 tahun belum berkahwin, belum pernah umrah serta terdiri daripada pelbagai latar belakang manakala yang bekerja terpaksa bercuti lebih sebulan.
Bagi musim kedua ini, Rohani yang sebelum ini mengiringi anak muda program pertama memberitahu, mereka yang terpilih bukan sahaja memberi fokus kepada umrah percuma tetapi lebih kepada pengisian ilmu untuk dijadikan bimbingan kepada anak muda apabila tamat program.
Katanya , ilmu agama yang mereka peroleh dapat dijadikan input sebagai panduan memulakan kehidupan serta berhadapan dengan masyarakat di luar.
“Ia bukan sekadar pengisian jiwa dan rohani tetapi bekalan ilmu yang bakal mengubah kehidupan mereka sebaik sahaja tamat program,” katanya yang sekali lagi akan mengiringi anak-anak muda ke Tanah Suci.
Pada hari terakhir program, para peserta tersenyum puas kerana impian mereka untuk menunaikan umrah semakin menjadi nyata. Bukan sekadar percuma tetapi pada usia muda dengan bekalan ilmu yang diperoleh.
Masing-masing senyum lebar bersama keluarga apabila menerima bag Andalusia untuk dibawa ke Makkah dan Madinah
Sementara itu, salah seorang peserta yang terpilih, Muhammad Mukrim Mukhtar,22 bersyukur kerana terpilih selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Beliau yang baru selesai pengajian dalam bidang pengurusan dan pelancongan berkata, selain sasaran untuk menunaikan ibadah umrah, program itu juga dapat menambah pelbagai ilmu untuk “mengubah diri”.
Nnnn
