Pas ada ramai calon Pengerusi PN

MARANG 2 Jan. – Wakil Pas yang akan dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan  Muhyiddin Yassin akan diputuskan dalam satu mesyuarat gabungan itu selewat-lewatnya minggu depan.

Presiden Pas,  Abdul Hadi Awang, berkata parti itu mempunyai ramai calon yang berkaliber termasuk ahli politik dan kalangan teknokrat untuk dilantik sebagai Pengerusi PN.

Ditanya adakah beliau bersedia untuk menerajui pimpinan tertinggi PN, Abdul Hadi menjelaskan beliau berada dalam keuzuran.

“Kita dalam keadaan keuzuran, tetapi calon yang akan dipilih untuk memimpin PN akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan, yang pasti pengerusi gabungan itu adalah kalangan pemimpin Pas,” katanya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi juga menjelaskan, hubungan antara Pas dan Bersatu masih baik walaupun Muhyiddin dan beberapa pengerusi PN di beberapa negeri mengumumkan meletak jawatan.

Muhyiddin pada Selasa lalu secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa semalam – 1 Januari 2026, selepas lima tahun menerajui gabungan itu, susulan krisis politik di Perlis.

Susulan ity, empat pemimpin kanan PN turut mengumumkan peletakan jawatan mereka, termasuk Setiausaha Agung PN, Mohamed Azmin Ali, yang juga Pengerusi PN Selangor.

Selain itu, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Related posts

Leave a Comment