SEPANG 2 Jan. – Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam Perikatan Nasional (PN) dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.
Bekas Pengerusi PN itu berkata, walaupun tidak lagi memimpin PN,beliau masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai Presiden.
Menerusi Pesanan Presiden Bersatu Sempena Tahu Baru di media sosial, Muhyiddin berkata, dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.
“Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan.
Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,” katanya.
Sempena tahun baharu, beliau juga menyeru seluruh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia agar memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup rapat segala ruang perpecahan dalam parti.
Pada 30 Disember lalu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Terdahulu terdapat perselisihan hubungan antara Pas dan Bersatu selepas pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari Pas, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Situasi bertambah gawat apabila ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Pada masa yang sama Muhyiddin juga didesak Pas untuk mengambil tindakan terhadap lima ADUN Bersatu yang didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis sebelum ini yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Shukri sebagai Menteri Besar Perlis.
Pas sebelum itu mengumumkan tiga ADUNnya, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) tergugur keahlian susulan SD kepada Raja Perlis.
Nnnn
