SEPANG 23 Dis. – Exco Pemuda UMNO, Mohd Nazifuddin Najib, menyuarakan rasa sedih atas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memutuskan Titah Adendum ke atas bapanya, Najib Razak tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Lebih menyedihkan kata anak bekas Perdana Menteri itu,, keputusan tersebut bukan semata-mata kerana membabitkan bapanya, sebaliknya makna di sebalik keputusan itu yang secara langsung turut menyentuh titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya kenal ayah saya. Bossku tidak akan mengalah. Beliau akan terus berjuang. Namun sebagai seorang anak, dengan setiap halangan dan ujian yang berpanjangan ini, saya tidak dapat menahan persoalan, bilakah semua ini akan berakhir?
“Bilakah ia dianggap cukup bagi mereka? Keputusan semalam amat menyedihkan buat saya, bukan semata-mata kerana ayah saya, tetapi kerana makna di sebalik keputusan itu. Selama puluhan tahun, UMNO memperjuangkan prinsip tertinggi, menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mematuhi setiap titah serta perkenan Agong.
Namun dalam sekelip mata, semalam, maruah dan kedudukan institusi itu seolah-olah runtuh. Keputusan itu membawa maksud bahawa apa-apa titah atau dokumen diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan peribadi menerusi Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, keputusan ini sekali gus, memberi implikasi besar serta mendalam terhadap sistem yang selama ini dijunjung.
“Jika ini pendirian kerajaan, mengapa perkara ini tidak dinyatakan dari awal? Mengapa kami perlu berulang-alik ke mahkamah selama ini, memperjuangkan kewujudan satu adendum yang kini dikatakan tidak sah kerana isu proses? Saya secara peribadi percaya adendum itu adalah sah.
“Selama ini, kefahaman saya dan kefahaman ramai ialah Lembaga Pengampunan hanyalah bersifat nasihat, sementara kuasa sebenar terletak pada Agong,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi.
Tegasnya dengan keputusan mahkamah semalam, beliau mendakwa mesej yang diterima amat jelas bahawa kuasa itu kini terletak pada kerajaan dan tanpa proses kerajaan, dokumen diraja tidak membawa sebarang nilai.
“Jika begitu, bagaimana pula dengan kes-kes terdahulu yang juga mempunyai isu proses? Bagaimana seseorang boleh menjadi Perdana Menteri tanpa Lembaga Pengampunan yang lengkap dan ketika Peguam Negara berada dalam cuti khas?
“Di manakah konsistensi? atau adakah semuanya ini sekadar satu pembohongan besar kepada rakyat? Kepada mereka yang meraikan, hakikat bahawa Najib masih berada di Kajang. Ingatlah, ini bukan hari pertama beliau di sana. Ia sudah memasuki tahun keempat,” katanya.
Beliau berkata, lebih menyedihkan, bagi satu jenayah yang dilakukan oleh ahli perniagaan, Jho Low yang didakwa dalang utama dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerajaan dakwanya tidak lagi menunjukkan kesungguhan untuk memburunya.
Kepada mereka yang meraikan hakikat bahawa Najib Razak masih berada di Kajang, beliau berkata; “Ingatlah, ini bukan hari pertama beliau di sana. Ia sudah memasuki tahun keempat.
Dan jika benar kehendak Tuanku yang terdahulu, seperti yang dizahirkan melalui surat Istana, maka kerajaan hari ini sedang menahan Najib Razak secara tidak adil, bertentangan dengan kehendak tersebut,”
Nnnn
