KUALA LUMPUR 24 Nov. – Berbaki enam bulan lagi, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) bertekad untuk mencapai sasaran 80,000 jemaah umrah sepanjang musim 1447 Hijrah yang setakat ini merekodkan 51,000 jemaah berdaftar.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, sasaran awal 50,000 jemaah yang ditetapkan syarikat dapat dicapai lebih awal daripada kebiasaan dan yakin mampu mencapai matlamat 80,000 jemaah.
Katanya, sasaran sebenar syarikat adalah untuk mencapai 80,000 jemaah, satu matlamat yang diletakkan sejak tiga tahun pasca-Covid-19.
“Berdasarkan keyakinan ramai terhadap syarikat, dipacu sistem pengurusan serta pemasaran yang semakin matang, dan disokong tenaga kerja, fasiliti dan ruang yang ada, Andalusia yakin mampu menyantuni jumlah besar itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Andalusia di Wisma Andalusia di sini sempena pencapaian pendaftaran 50,000 jemaah setakat ini bagi musim 1447H.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; Pengarah Pemasaran Digital Andalusia, Izzati Ibrahim serta rakan-rakan strategik.
Majlis kesyukuran itu sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja, pegawai pemasaran, syarikat penerbangan dan pembekal yang menyokong perjalanan operasi syarikat.
Ida Riswana berkata bagi mencapai matlamat itu seluruh anggota keluarga besar Andalusia tanpa mengira jawatan perlu bekerja keras untuk meyakinkan jemaah memilih Andakusia dan tidak terjebak dengan pihak yang membawa masalah.
Begitu juga sokongan syarikat penerbangan amat penting untuk membekalkan tiket penerbangan.
Katanya, Andalusia kekal dengan prinsip ‘Amanah dan Integriti’, lebih-lebih lagi ketika industri umrah berdepan peningkatan kes penipuan pakej oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau pada masa yang sama turut mengingatkan para petugas untuk memastikan jumlah besar jemaah disantuni dengan baik.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab petugas dengan ikhlas memastikan setiap jemaah Andalusia mendapat perkhidmatan terbaik dan urusan mereka dipermudahkan kerana akhirnya akan membawa manfaat kepada syarikat.
“Kepada pelanggan, jika ada keraguan ketika mencari syarikat untuk umrah, yakinlah dengan Andalusia yang akan sentiasa perihatin dengan jemaah berdasarkan prinsip amanah dan integriti kami,” katanya.
Nnn
