BAITULMUQADDIS – Israel akan terus mengekalkan kawalan keselamatan sepenuhnya di Semenanjung Gaza, walaupun bersetuju dengan gencatan senjata yang diselaraskan oleh Amerika Syarikat (AS), kata Benjamin Netanyahu.
Netanyahu memaklumkan kepada Kabinetnya bahawa Israel yang akan memutuskan bila dan di mana untuk menyerang musuhnya, serta negara yang akan dibenarkan menghantar pasukan keselamatan untuk menguatkuasakan gencatan senjata itu.
“Israel adalah negara merdeka. Kami akan mempertahankan diri kami dengan cara kami sendiri dan kami akan terus menentukan nasib kami. Kami tidak meminta persetujuan sesiapa untuk hal ini. Kami mengawal keselamatan kami,” katanya.
Menurut terma gencatan senjata yang diselaraskan AS, apabila tentera Israel berundur selepas tamatnya pertempuran dua tahun menentang Hamas, sebuah pasukan antarabangsa, yang dijangka terdiri terutamanya dari negara Arab atau Islam, sepatutnya mengawal keselamatan Gaza.
Namun, Israel menentang sebarang peranan oleh negara pesaing di rantau itu, Turkiye.
Netanyahu, yang kini menghadapi kritikan pihak berhaluan kanan tegar dalam kerajaan gabungannya kerana bersetuju dengan gencatan senjata, mengambil pendirian tegas dalam mesyuarat Kabinet di Baitulmaqdis hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang menamatkan siri lawatan pegawai tinggi Washington ke Tel Aviv, turut menegaskan Israel akan menentukan pasukan antarabangsa mana yang tidak boleh diterima untuk menguatkuasa gencatan senjata.
Juru cakap Israel, Shosh Bedrosian berkata, Netanyahu telah menyatakan ia akan dilakukan sama ada dengan cara mudah atau cara sukar, dan menegaskan Israel akan mempunyai kawalan keselamatan menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza.
“Gaza akan dilucutkan senjata dan Hamas tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam mentadbir rakyat Palestin,” katanya.
Israel telah mengundurkan tenteranya dari dalam Gaza sehingga ke ‘garisan Kuning’ tetapi kekal mengawal lebih daripada separuh wilayah itu, meluluskan setiap konvoi bantuan PBB yang melalui sempadannya, dan melakukan sekurang-kurangnya dua serangan sejak gencatan senjata.
Netanyahu berkata negara itu telah mengebom Gaza dengan 150 tan peluru pada 19 Oktober selepas dua askarnya terbunuh, dan melakukan serangan pada Sabtu yang menyasarkan seorang pejuang Palestin.
Nnnn

 
                                         
                             
                            
