Netanyahu ‘gagal hadir’ sidang Gaza

SHARM EL-SHEIKH: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu gagal membuat kunjungan ke Sharm el-Sheikh, selepas beberapa pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak Gaza di Mesir menolak kehadirannya.

Menurut laporan media, Netanyahu pada mulanya dijadual membuat lawatan mengejut ke mesyuarat di Sharm el-Sheikh, selepas panggilan tiga hala bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.

Semasa panggilan tiga hala itu, Trump menegaskan mahu Netanyahu hadir, sementara Sisi dilaporkan enggan menampakkan seolah-olah beliau berselisih pandangan dengan Presiden AS.

Netanyahu menarik diri dengan alasan untuk menyelesaikan konflik ketika ini sedangkan kehadirannya dijangka mencetuskan kemungkinan beliau bertembung dengan pegawai dari beberapa negara Arab yang tidak mengiktiraf Israel.

Antara pemimpin yang lantang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza ialah Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Malahan delegasi Iraq telah memaklumkan kepada pihak Mesir bahawa mereka tidak bersedia menyertai sidang serantau sekiranya Netanyahu hadir.

Kaherah kemudian memaklumkan kepada Netanyahu bahawa beliau “tidak boleh diterima”, menyebabkan pembatalan penyertaannya.

Sumber diplomatik Turkiye pula memberitahu, atas inisiatif Presiden Erdogan dan melalui usaha diplomatik Turkiye — dengan sokongan beberapa pemimpin lain — Netanyahu akhirnya tidak hadir ke mesyuarat itu.

Menurut laporan media Turkiye, Erdogan mendapat tahu mengenai kehadiran Netanyahu ketika dalam penerbangan ke Sharm el-Sheikh, dan kapalnya berlegar di ruang udara Laut Merah tanpa mendarat sehingga disahkan Netanyahu tidak akan hadir.

Sumber diplomatik lain pula berkata, beberapa negara panik apabila mendengar berita tentang kedatangan Netanyahu dan kebanyakan mereka tidak mahu dirakam bergambar bersama Netanyahu di sidang itu.

Related posts

Leave a Comment