Ugutan: Google diminta bantu

NIBONG TEBAL 14 Sept.  – Kementerian Komunikasi akan mendapatkan kerjasama syarikat Google bagi membantu siasatan insiden e-mel ugutan berunsur video lucah yang diterima beberapa wakil rakyat termasuk Timbalan Menteri.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata siasatan perlu dilakukan kerana e-mel berkenaan dipercayai dihantar individu sama kepada ramai penerima.

“Malah, saya sendiri dimaklumkan beberapa jam lepas bahawa saya turut menerima e-mel tersebut dua hari lalu. Ayatnya sama, gambarnya hampir sama. Jadi, besar kemungkinan ia dihantar oleh individu yang sama.

Kita akan meminta pihak Google membantu menyiasat pihak yang telah menerbit dan menghantar e-mel tersebut, dan kita tunggu maklum balas daripada pihak Google,” katanya selepas merasmikan program Bersama Aktifkan Kesukarelawanan Teras Inspirasi (BAKTI) Komuniti Madani di Dataran Kuala Haji Ibrahim di sini, hari ini.

Fahmi berkata pihaknya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah kelengkapan forensik digital bagi membolehkan pengesanan terhadap bahan yang mungkin dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kita dapati jumlah mereka yang menerima e-mel ugutan daripada scammer AI ini sangat besar dan kemungkinan besar mereka memperoleh alamat e-mel rasmi semua wakil rakyat lelaki daripada laman web Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, Fahmi melalui hantaran di Facebook memaklumkan beliau antara sembilan wakil rakyat yang menerima e-mel ugutan itu, termasuk Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; ADUN Kulim, Wong Chia Zen; serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Beliau menegaskan perbuatan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain boleh disiasat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin turut menerima ugutan siber membabitkan kandungan pornografi dipercayai menggunakan teknologi AI yang dihantar melalui e-mel miliknya pada Jumaat lalu.

“Saya telah meminta pegawai tugas-tugas khas saya untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada hari sama saya menerima (ugutan),” katanya.

Turut menjadi sasaran adalah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, yang hanya menyedari kewujudan e-mel itu ketika bersarapan di kawasannya.

“Sebenarnya, ada lebih ramai Ahli Parlimen menerima e-mel ugutan ini. Mungkin mereka tidak menyedarinya kerana e-mel masuk dalam folder spam, seperti berlaku kepada saya,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Wan Saiful berkata, mesej berkenaan, yang mirip dengan apa yang diterima individu lain sebelum ini, mendakwa ia dihantar seorang ‘penyiasat persendirian’ yang kononnya memiliki bahan bukti yang boleh memfitnah.

E-mel kemudian menuntut bayaran AS$100,000 dalam bentuk mata wang kripto Tether untuk menghalang pendedahannya.

“Turut dilampirkan kod QR untuk pembayaran serta sekeping gambar di atas katil. Gambar yang saya terima kelihatan sama seperti diterima Ahli Parlimen lain,” katanya yang akan merujuk pihak berkuasa untuk menentukan sama ada laporan rasmi perlu dibuat.

Wan Saiful dalam pada itu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa foto yang disertakan dalam e-mel terbabit adalah palsu.

“Saya yakin orang ramai tahu bahawa gambar yang melibatkan ramai rakan Ahli Parlimen kita adalah rekaan. Tidak perlu sebarang siasatan dari luar negara, sudah jelas bahawa ia adalah palsu,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment