MCA persoal kenapa hanya 85 tempat

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Presiden MCA,  Dr Wee Ka Siong mempersoalkan tawaran 85 tempat yang boleh diisi calon bagi program perakaunan di Universiti Malaya (UM), sedangkan jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun di bawah program itu sejak 14 tahun lalu melebihi 100 orang.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada laman web UM, jumlah graduan di bawah program perakaunan secara puratanya adalah tiga digit setiap tahun, sejak 2011 hingga 2024, malah ada tahun yang mencecah hampir 200 orang.

“Kenapa data daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang mengawal selia semua universiti, mengatakan UM hanya beri 85 tempat, sedangkan rekod dari 2011 hingga 2014 jelas menunjukkan jumlah graduannya jauh lebih besar?

“Bagaimana mungkin pelajar itu, pengambilannya hanya 85 dan akhirnya jumlah graduannya jauh lebih besar, sampai satu kali ganda?

Siapa yang tidak beritahu dengan jujur atau di mana laluan yang hasilkan jumlah graduan yang begitu besar?”  Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof  Dr Azlinda Azman, dalam sidang media berkata prinsip meritokrasi menjadi asas kepada proses saringan Unit Pusat Universiti (UPU) dalam menawarkan tempat bagi kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA).

Azlinda berkata, amalan yang diguna pakai sejak sekian lama itu memastikan pemilihan pelajar untuk ditawarkan tempat di UA, dibuat berdasarkan kepada keputusan akademik dan juga markah kokurikulum, dengan susunan calon yang layak mengikut merit tertinggi hingga terendah.

Beliau menjawab dakwaan Ka Siong sebelum itu yang mempersoalkan keadilan pemilihan kemasukan pelajar ke UA selepas seorang pelajar dari Bukit Mertajam gagal mendapat tempat di UM bagi kursus perakaunan walaupun memperoleh keputusan cemerlang.

Azlinda turut memaklumkan, permohonan yang layak bagi mengikuti program perakaunan adalah 2,291 calon dengan seramai 1,127 pemohon memperoleh merit 100 peratus, dan calon itu berada di kedudukan 1,129 dan UM menyediakan 85 tempat untuk diisi.

Dalam pada itu Ka Siong berkata, jika pengambilan bagi program itu hanya bagi 85 tempat setiap tahun seperti yang dikatakan, bermakna hanya terdapat 340 pelajar yang mengikuti program itu di UM pada satu-satu masa, mengambil kira tempoh kursus selama empat tahun.

“Di UM, ada 43,000 pengambilan baharu pada 2024, bermaksud tidak sampai satu peratus pun untuk kursus kritikal perakaunan. Apa sudah jadi?” katanya.

Mengenai kenyataan Naib Canselor UM, Prof Dr Noor Azuan Abu Osman yang menafikan pelajar itu menerima tawaran bersyarat melalui saluran terbuka UM (SATU) dengan yuran penuh RM83,800, sebaliknya ia berdasarkan permohonan pelajar itu secara dalam talian pada 16 Julai lalu dan UM mengeluarkan pratawaran, Ka Siong berkata, jika pelajar itu layak untuk SATU, mengapa beliau tidak layak untuk UPU.

“Tiada masalah memberikan pratawaran tapi bagaimana jika dia tidak layak melalui UPU? Bermakna kamu “cop” tempat untuk pelajar, untuk beri saluran komersial dulu. Ini keutamaan kitakah?” dakwa beliau.

Mengenai gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menggesa Ka Siong memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana kenyataannya yang dikatakan mencemarkan nama baik kementerian itu, Presiden MCA itu, berkata Muhamad Akmal perlu memahami situasi yang berlaku.

“Atas asas apa saya perlu minta maaf? Bagaimana jumlah graduan lebih ramai daripada pengambilan? Tidak mungkin.

“Saya boleh tunjuk data ini tidak “tally”. Kamu mahu paksa saya mohon maaf? Tidak akan, …beliau kena cukup pandai tengok isu ini,” katanya.

 

nnn

Related posts

Leave a Comment