PUTRAJAYA 10 Sept. – Sebarang masalah yang dihadapi pelajar dalam proses permohonan ke universiti, masih mempunyai saluran penyelesaian termasuk melalui proses rayuan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Dr Zambry Abdul Kadir.
Justeru katanya, isu pendidikan tinggi yang melibatkan soal anak-anak melanjutkan pelajaran tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Saya sering kali sebutkan bahawa ini adalah soal anak-anak yang akan melanjutkan pelajaran dan saya tidak mahu menjadikan ia sebagai satu isu permainan politik oleh mana-mana pihak.
“Saya telah menyebutkan berkali-kali bahawa bila ada masalah-masalah, bila kita ada proses rayuan kita, yang mana yang boleh kita guna dalam tempoh sepuluh hari yang diberikan untuk membuat rayuan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI di sini, hari ini.
Sebelum ini , seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendakwa beliau tidak mendapat tempat dalam program perakaunan di Universiti Malaya (UM) walaupun memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dan markah kokurikulum 9.90, menjadikan merit keseluruhan sebanyak 99.90 peratus.
Calon berkenaan membuat pengaduan kepada Ahli Parlimen Ayer HHitm Dr Wee Ka Siong yang mengadakan sidang akhbar berhubung isu itu.
Menerusi sidang media itu, Ka Siong mendakwa seorang pelajar cemerlang tidak menerima tawaran ke program pengajian perakaunan di UM walaupun memperoleh keputusan yang baik.
Susulan itu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dalam kenyataannya menegaskan semua keputusan UPUOnline dijana sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program dimohon.
JPT menjelaskan rangking permohonan individu berkenaan dalam program perakaunan yang dimohon adalah pertama, Universiti Malaya (UM) – permohonan yang layak 2,291 orang dengan seramai 1,127 orang memperoleh merit 100 peratus.
Calon berada di kedudukan 1,129 dan UM menyediakan 85 tempat untuk diisi.
Kedua, Universiti Putra Malaysia (UPM)- permohonan yang layak adalah 4,154 orang dengan seramai 1,718 orang memperolehi merit 100 peratus. Calon berada di kedudukan 1,724 dan UPM menyediakan 100 tempat untuk diisi.
Bagi pilihan ketiga, pelajar itu memohon Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mana seramai 2,595 orang yang layak dengan seramai 1,282 orang memperoleh merit 100 peratus. Calon di kedudukan 1,288 dan UUM menyediakan 350 tempat untuk diisi.
Keempat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – permohonan yang layak adalah 2,292 orang dengan seramai 1,060 orang memperolehi merit 100 peratus. Calon berada di kedudukan 1,062 dan UTM menyediakan 55 tempat untuk diisi.
Dalam hubungan ini, JPT berkata, calon ditawarkan tempat berdasarkan pencapaian merit dan pilihan program yang dipohon, sama seperti calon-calon yang lain, sekaligus menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada.
Sementara itu, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbuka untuk mengambil perhatian sekiranya berlaku kekurangan dalam proses permohonan ke universiti pada masa ini.
“Sistem ini telah dilaksanakan selama ini dan kita sering kali membaiki dari semasa ke semasa. Jadi saya faham dari segi keperluan pelajar-pelajar kita yang ingin belajar untuk dapat tempat-tempat yang terbaik,” katanya.
- Nnnnn
