WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan sedang giat untuk meneruskan rancangan menukar nama Jabatan Pertahanan AS kepada Jabatan Perang.
Menurut laporan eksklusif Wall Street Journal (WSJ), yang memetik pegawai kanan Rumah Putih, langkah itu bertujuan mengembalikan nama asal jabatan berkenaan yang digunakan sehingga tahun 1947.
Nama Jabatan Perang ditukar kepada Jabatan Pertahanan oleh pentadbiran Presiden Harry Truman.
Menurut sumber, perubahan nama ini dilihat sebagai usaha untuk memulihkan semangat pejuang dan menekankan peranan ofensif ketenteraan AS dalam menghadapi ancaman global.
Walaupun perubahan nama jabatan memerlukan kelulusan Kongres, White House dilaporkan sedang meneroka kaedah alternatif untuk melaksanakan penjenamaan semula tanpa perlu melalui proses legislatif penuh.
Langkah ini mencetuskan pelbagai reaksi daripada ahli politik dan pemerhati dasar luar.
Pengkritik menyatakan bahawa penukaran nama ini boleh memberi isyarat agresif kepada dunia luar dan menjejaskan imej diplomatik AS.
Dalam pada itu, penyokong Trump melihatnya sebagai simbol ketegasan dan penolakan terhadap pendekatan ‘pertahanan ‘semata-mata’ yang dianggap lemah.
Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, yang dilantik oleh Trump, turut menyokong perubahan tersebut dan sebelum ini menyatakan bahawa jabatan itu perlu kembali kepada ‘asas pejuang’ yang pernah menjadi teras dasar ketenteraan negara.
Bagaimanapun, tiada tarikh rasmi diumumkan bagi pelaksanaan perubahan nama itu, namun kenyataan dari Rumah putih menunjukkan bahawa proses itu sedang dipercepatkan menjelang sidang Kongres musim luruh ini.
Nnnn
