Pengimport vape etomidate boleh dipenjara

SINGAPURA – Mulai 1 September ini, Singapura akan mengenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan 15 sebatan terhadap pengimport rokok elektronik etomidate, sebagai sebahagian daripada tindakan baharu yang keras terhadap ancaman penyalahgunaan bahan yang dikaitkan dengan peranti itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri dalam kenyataan bersama memaklumkan penjual serta pengedar akan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan lima sebatan.

Individu yang didapati menggunakan rokok elektronik etomidate atau positif saringan etomidate tidak lagi hanya dikenakan denda sebaliknya mereka boleh diarahkan menjalani pemulihan, rawatan, pengawasan mandatori dan penahanan.

Rokok elektronik etomidate ialah vape yang dicampur dengan etomidate, sejenis ubat bius kuat yang kini diklasifikasikan sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun.

Dan mulai 1 September, etomidate dan analognya akan diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 (MDA) selama enam bulan sementara MOH memperkenalkan undang-undang lebih sesuai.

MOH mengingatkan, rokok elektronik etomidate memberi kesan buruk serius kepada pengguna, termasuk menjejaskan otak, malah beberapa kematian luar biasa dan satu kemalangan maut dikaitkan dengan penggunaannya.

Sementara itu, kesalahan berkaitan rokok elektronik akan turut disenaraikan di bawah Akta Jenayah Terancang 2015, Akta Jenayah Dalam Talian 2023, serta Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) 1992, bagi memperkukuh tindakan terhadap penjual, penyeludup dan sindiket.

Mereka yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli rokok elektronik akan berdepan hukuman lebih berat bermula tarikh berkenaan.

Pesalah kali pertama akan dikenakan denda S$500 (RM1,641) bagi yang berusia bawah 18 tahun dan S$700 (RM2,98)bagi orang dewasa, berbanding denda semasa masing-masing, S$300 (RM984) dan S$500 (RM1,641).

Pesalah berulang pula diwajibkan mengikuti program pemulihan, didakwa di mahkamah dan boleh didenda sehingga S$2,000 (RM6,566).

Bagi warga asing, rokok elektronik mereka akan dirampas dan dikenakan denda, manakala pesalah berulang akan menerima hukuman lebih berat.

Sementara pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Pendek yang mengulangi kesalahan akan disenarai hitam daripada memasuki semula Singapura selepas keluar dari negara itu.

Bagi mereka yang memiliki pas atau kemudahan imigresen jangka panjang, seperti Pas Pekerjaan, S Pass, Permit Kerja, Pas Pelajar, Pas Lawatan Jangka Panjang atau Pas Tanggungan, pas atau kemudahan imigresen mereka boleh dibatalkan selepas kesalahan kali ketiga, dan akan dihantar pulang serta diharamkan daripada memasuki semula Singapura.

Warga asing yang didapati memiliki atau menggunakan rokok elektronik etomidate, atau positif dalam saringan etomidate, turut berisiko dibatalkan pas atau kemudahan imigresen, dihantar pulang dan diharamkan daripada memasuki semula Singapura.

Kedua-dua kementerian itu berkata, sebarang rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kes demi kes.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment