Tidak akan fitnah sultan sendiri

KUALA LUMPUR 5 Dis . – Tindakan Mohamad Nizar membuat afidavit tambahan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya berkaitan hukuman tahanan rumah ke atas bapanya,  Najib Razak, adalah berlandaskan fakta dan kebenaran.

Adiknya, Nooryana Najwa, berkata sebagai Exco Pahang, abangnya tidak akan memfitnah sultan negeri sendiri dan bekas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan membuat afidavit menipu serta menyerahkan salinan titah adendum melibatkan nama YDPA ketika itu.

Menurut Nooryana, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan bahawa salinan titah adendum tersebut digunakan di mahkamah, dan bukan untuk ditularkan di media sosial.

“Abang saya yang juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) telah membuat afidavit tambahan dan menyerahkan kepada mahkamah bersama satu salinan titah adendum yang mengarahkan Datuk Seri Najib diberi tahanan di rumah.

“Difahamkan juga bahawa dokumen-dokumen tersebut pada mulanya boleh diakses orang ramai melalui sistem fail mahkamah sebagaimana mana-mana kes jenayah tetapi pagi ini, dokumen-dokumen telah ‘ditutup’ daripada diakses orang umum,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohamad Nizar dilaporkan memfailkan afidavit yang mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan Titah Adendum.

Beliau yang Exco Kerajaan Negeri Pahang berbuat demikian bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam bentuk tahanan rumah.

Terdahulu, Najib memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum diraja yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa permohonan tersebut difailkan pada 3 Disember lalu.

Related posts

Leave a Comment