KUALA LUMPUR 26 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob, mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dengan menguatkuasakan undang-undang yang dimiliki mereka.
Pada masa yang sama, beliau mencadangkan supaya tindakan yang lebih berat dikenakan terhadap pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu di papan tanda termasuk golongan yang meremehkan penggunaan Bahasa Kebangsaan ini.
Ahli Parlimen Bera itu mengingatkan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.
Katanya, PBT tidak lagi boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang meremehkannya, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menjelaskan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.
Justeru beliau menyambut baik ketegasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mengambil tindakan menurunkan papan tanda bahasa lain di sekitar ibu kota seperti mana yang dilaporkan media baru-baru ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada DBKL kerana mengambil tindakan tegas. Langkah ini sewajarnya dicontohi oleh PBT di seluruh negara dalam memartabatkan bahasa Kebangsaan, “ katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, menyebabkan tidak berlaku pilihan untuk tidak menggunakan Bahasa Persekutuan itu pada papan tanda atau dalam urusan di negara ini.
Malah penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda juga tidak menjejaskan sama sekali kemasukan pelancong, contohnya negara jiran Thailand menggunakan Bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung.
“Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini kerana ia sudah jelas Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, mendakwa penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
King Sing mendakwa, tindakan DBKL itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
DBKL pula berkata, tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa adalah berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan berhubung bahasa rasmi negara ini.
Agensi itu menegaskan penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar ibu kota ini bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Nnnn