Vaksinasi polio di Gaza disambung

GENEVA – Program vaksinasi polio yang tertangguh di utara Gaza, selepas Israel melancarkan operasi ketenteraan awal Oktober, akan disambung semula, kata Ketua   Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus

Katanya, program fasa ketiga esok dijangka bermula di utara Semenanjung Gaza, selepas ditangguhkan minggu lalu disebabkan pengeboman yang digiatkan, arahan pemindahan besar-besaran, dan kekurangan akses serta jaminan jeda kemanusiaan.

Dalam taklimat media, beliau menekankan bahawa kemanusiaan adalah “perlu” untuk melaksanakan kempen itu, tetapi menambah, “kawasan jeda dikurangkan dengan ketara dan kini hanya terhad kepada Bandaraya Gaza saja.”

Beliau berkata, fasa akhir kempen itu bertujuan untuk mencapai anggaran 119,000 kanak-kanak di bawah 10 tahun, namun “mencapai sasaran itu kini sukar, kerana keadaan di utara Gaza semakin teruk setiap hari.”

Fasa pertama kempen yang berakhir pada 12 September, membabitkan lebih setengah juta kanak-kanak Palestin.

Menurut WHO, kira-kira 590,000 kanak-kanak di seluruh Gaza sepatutnya menerima dos kedua.

Tedros turut menyebut usaha agensi PBB itu untuk sampai ke utara Gaza, dengan mengatakan bahawa dalam dua minggu lalu WHO menjalankan enam misi untuk membawa bekalan perubatan dan makanan untuk kakitangan hospital dan pesakit apabila dibenarkan, serta bahan bakar untuk memastikan generator berfungsi.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, susulan pertempuran sengit, pengepungan dan serbuan, hospital Kamal Adwan telah berubah daripada hospital yang merawat ratusan pesakit dengan puluhan pekerja kesihatan, kepada bayangannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata WHO membantu memindahkan pesakit paling kritikal ke hospital Nasser dan Shifa, di mana mereka boleh menerima tahap rawatan yang lebih tinggi.

“Kini beberapa puluh pesakit kekal di Kamal Adwan, dengan segelintir kakitangan menjaga mereka,” katanya

Related posts

Leave a Comment