Reformasi lantikan ahli SPR perlu diisegerakan

SEPANG 24 April –  Pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dilakukan melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif, demikian saranan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, langkah itu penting untuk mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan dan kemandirian SPR yang mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk melaksanakan pilihan raya dan persempadanan semula.

BERSIH mencadangkan mekanisme pelantikan ahli-ahli SPR perlu melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya supaya proses berkenaan dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh Ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang.

Susulan itu, BERSIH dalam kenyataan hari ini sekali lagi menegaskan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengenepikan agenda reformasi pilihan raya.

BERSIH menarik perhatian bahawa Pengerusi SPR akan bersara wajib pada Mei ini dan kekosongan jawatan ini akan menjadikan dua kekosongan jawatan Ahli SPR termasuk Pengerusi.

“Justeru, BERSIH mengulangi gesaan supaya Perdana Menteri segera melaksanakan reformasi proses pelantikan ahli-ahli SPR.

Kami mengingatkan bahawa manifesto pilihan raya kedua-dua pihak baik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah menjanjikan bahawa pelantikan bagi jawatan utama seperti pengerusi SPR akan melalui Jawatankuasa Parlimen,” katanya.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH menegaskan bahawa reformasi pelantikan ini adalah mustahak lebih-lebih lagi Pengerusi SPR seterusnya berkemungkinan besar akan mempunyai tanggungjawab mengkaji dan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Perlu ditegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masa yang lama kerana jawatan Pengerusi SPR akan dikosongkan bulan hadapan dan mekanisme pelantikan lebih telus perlu dibuat segera,” katanya.

Dalam pada itu BERSIH menggesa Kerajaan Persekutuan segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) yang kali terakhir dilakukan pada 2003 tanpa sebarang pindaan signifikan.

BERSIH sendiri sudah melakukan bengkel libat urus membabitkan hampir semua parti politik utama di Malaysia dan CSO yang memfokuskan agenda reformasi pilihan raya selama lebih dua tahun bermula 2019 sehingga 2021.

Hasil libat urus ini BERSIH mengenal pasti 19 seksyen dalam AKPR yang perlu dipinda seperti seksyen berkenaan rasuah, had belanja pilihan raya dan menaikkan hukuman denda bagi setiap kesalahan.

Selain itu, ia juga perlu memasukkan peruntukan baharu untuk memodenkan akta ini seiring keperluan zaman seperti larangan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen pilihan raya, keperluan mengaudit belanja pilihan raya oleh calon-calon serta memperkasakan kuasa SPR untuk memberi kompaun kepada pihak yang melakukan kesalahan pilihan raya.

“Pindaan AKPR juga perlu dilaksanakan agar perjalanan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih baik sebelum siri pilihan raya negeri (PRN) yang akan bermula dengan PRN Sabah pada 2025,” kata BERSIH.

Related posts

Leave a Comment